Search This Blog

Thursday, June 30, 2011

Bekas isteri culik anak

KUALA LUMPUR: “Saya langsung tidak menyangka bekas isteri sanggup melarikan anak kami ketika mereka bercuti. Dia bukan saja menculik anak saya, malah ingkar arahan mahkamah yang menetapkan saya mendapat hak penjagaan selepas kami berpisah.

“Saya terlalu rindukan anak. Sambutan Hari Bapa baru-baru ini bagaikan tiada makna tanpa dia di sisi. Saya rayu supaya mana-mana pihak dapat membantu membawa dia pulang ke pangkuan saya,” kata Tan Eng Keong, 31, bapa yang kehilangan anak perempuannya selepas dilarikan bekas isteri ke Batam, Indonesia.


Menurutnya, dia tidak menduga tindakan bekas isteri membawa anaknya, Tan Xin Ru, 8, ke kampungnya di Batam untuk menyambut tahun baru dan Tahun Baru Cina dua tahun lalu rupa-rupanya mempunyai maksud tersirat untuk memisahkan mereka berdua.

Katanya, segala-galanya bermula selepas perkahwinan yang dibina pada Mac 2003 hanya bertahan empat tahun dan selepas itu, mahkamah memutuskan dia mendapat hak penjagaan ke atas anaknya itu.


“Pada November 2008, saya dikunjungi bekas isteri yang datang memohon untuk membawa anak saya ke tempat asalnya di Pulau Batam dan diperkenalkan kepada saudara mara di sana.


“Kerana memikirkan dia juga mempunyai hak, saya kemudiannya membawa anak berjumpanya di Batam. Ketika di sana, bekas isteri memberitahu mahu anak kami tinggal bersamanya sehingga tamat cuti sekolah dan akan menghantarnya pulang ke Malaysia,” katanya.

Menurutnya, memikirkan anaknya memerlukan kasih sayang ibu, dia bersetuju memberikan kebenaran untuk anak perempuannya tinggal lebih lama bersama bekas keluarga mentuanya itu.


“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah saya berkunjung ke rumah bekas isteri pada Februari 2009 untuk membawa pulang anak ke Malaysia kerana sesi persekolahan semakin hampir, namun terkejut apabila mendapati mereka tiada di rumah.

“Saya mendapatkan ahli keluarganya dan bertanyakan di mana anak saya. Seolah-olah sudah berpakat, mereka menjawab tidak tahu ke mana anak pergi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh.


Tan berkata, sebulan kemudian, dia berkesempatan menemui anaknya selama empat jam di Balai Polis Kota Besar Barelang, Kepulauan Riau selepas seorang rakan berjaya mengesan lokasi Xin Ru di sekolah di sana.


Dalam pertemuan singkat itu, anaknya hanya duduk di pangkuan bekas isterinya dan memaklumkan enggan pulang ke Malaysia kerana khuatir tidak dapat kembali ke Batam.


Sementara itu, Muhd Khairun berkata, pihaknya akan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan di mana Xin Ru berada selain menyediakan dokumen berkaitan bagi membantu membawa pulang anak berkenaan kepada ayahnya seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.


Katanya, antara kandungan kerjasama itu termasuklah meminta Interpol mengeluarkan waran tangkap kepada wanita berkenaan kerana melarikan anaknya yang juga warga negara Malaysia ke Indonesia.


“Selepas itu, dokumen berkenaan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Indonesia supaya mengambil tindakan sewajarnya kerana isu hak penjagaan sudah diputuskan di mahkamah negara ini,” katanya.myMetro | Bekas isteri culik anak

No comments:

Post a Comment