Search This Blog

Wednesday, June 29, 2011

Anggota Rela dibelasah


HULU LANGAT 28 Jun - Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) terpaksa menanggung kesakitan akibat patah jari kelingking selepas dibelasah tujuh anggota Rela lain dalam pergaduhan di Taman Orkid, Batu 9 di Cheras pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, mangsa bekerja sebagai pemandu teksi dikatakan berselisih faham dengan tujuh anggota Rela terbabit dipercayai berpunca daripada tindakan berebut kawasan untuk dijaga.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, akibat tidak puas hati, tujuh lelaki yang merupakan anggota Rela di taman perumahan sama bertindak menyerang mangsa.

"Dalam pergaduhan itu, mangsa yang keseorangan tidak mampu melawan suspek yang ramai menyebabkan dia cedera teruk termasuk patah jari kelingking.

"Selepas mendapat rawatan, mangsa mengumpul rakan-rakannya dan menghubungi kumpulan tujuh lelaki yang menyerangnya untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, mangsa memberi tempoh selama dua hari iaitu kelmarin dan semalam kepada suspek untuk bertemu bagi membincangkan masalah dihadapi termasuk menuntut bayaran ganti rugi bagi kos rawatan kecederaan dialami.

Namun, katanya, suspek enggan menghadiri pertemuan tersebut menyebabkan mangsa tiada pilihan lalu membuat laporan polis hari ini.

Hasil laporan tersebut, beliau berkata, polis kemudian menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan mangsa.

"Kedua-dua lelaki terbabit berusia 30 hingga 50 tahun masing-masing bekerja sendiri dan kelindan lori, ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, mangsa, Chin Hock Chai, 48, ketika ditemui mendakwa, dia diserang oleh tujuh anggota Rela terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya memecat mereka.

Hock Chai berkata, dia merupakan Ketua Rela Taman Orkid bertindak memecat ketujuh-tujuh lelaki terbabit kerana mereka mempunyai masalah disiplin.

"Apabila tidak berpuas hati dipecat, mereka bertindak membelasah saya," katanya.Utusan Malaysia Online - Kota

No comments:

Post a Comment