Search This Blog

Friday, June 3, 2011

Ah long tipu mangsa melalui e-mel




Koh Ah Tiam (tiga kiri) melihat poster dan kain rentang iklan ah long yang diturunkan di Kuantan, semalam.


KUANTAN 2 Jun - Polis mengesan terdapat satu sindiket peminjam wang tidak lesen atau ah long yang aktif menipu orang ramai melalui e-mel kononnya dihantar oleh pihak bank.
Mereka juga dipercayai menggunakan logo bank palsu untuk mendapatkan maklumat peribadi pemegang akaun sebelum melesapkan wang di dalam akaun mangsa sehingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Supritendan Koh Ah Tiam berkata, mangsa yang menerima kiriman e-mel diarahkan supaya memberi kata laluan dan nombor pengenalan diri kononnya untuk mengemas kini akaun.
Bagaimanapun, tambahnya, maklumat berkenaan digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa ke akaun lain.
Kata beliau, kes penipuan itu dilaporkan meningkat secara mendadak pada tahun ini di negeri ini.
"Dalam tempoh lima bulan sahaja, sebanyak 22 kes melibatkan sindiket itu telah dilaporkan berbanding hanya tujuh kes sahaja tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas operasi menurunkan iklan ah long oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) negeri dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini semalam.
Menurutnya, sindiket itu sangat licik dalam memperdayakan mangsa apabila golongan profesional seperti guru, pensyarah dan doktor turut menjadi mangsa mereka.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan tipu helah sindiket itu dan jangan mendedahkan maklumat akaun bank kepada sesiapa kerana pihak bank tidak akan meminta maklumat berkenaan sama ada melalui e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.
Sementara itu, hampir 100 poster dan kain rentang iklan ah long diturunkan pada operasi itu membabitkan 20 anggota polis daripada JSJK negeri dan penguat kuasa MPK.
Katanya, operasi tersebut diadakan secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak membuat pinjaman dengan ah long sebaliknya dengan syarikat kewangan yang mempunyai lesen sah.
Utusan Malaysia Online - Pahang

No comments:

Post a Comment