Search This Blog

Saturday, June 25, 2011

75 PATI dicekup cuba seludup keluar

JOHOR BAHRU 24 Jun - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menahan 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyeludup keluar dari negara ini secara haram dalam dua serbuan di Kota Tinggi, awal pagi semalam.

Komander PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, kesemua PATI termasuk 10 wanita berusia 22 hingga 43 tahun itu dipercayai dalam cubaan untuk pulang ke negara asal mereka.

Beliau berkata, serbuan pertama pukul 12.15 malam dilakukan di hutan Bukit Raja Darat dekat Sungai Rengit yang menjadi tempat persembunyian 40 PATI termasuk empat wanita.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit untuk tindakan selanjutnya.

Dalam serbuan kedua pada pukul 3.30 pagi, sepasukan anggotanya yang membuat rondaan di Pantai Pasir Gogok di Kota Tinggi terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik pihak kami cuba menghampiri, bot berkenaan terus memecut melarikan diri dan setelah 20 minit mengejar barulah bot berkenaan berjaya dipintas dan ditahan.

"Namun, tindakan tekong bot yang cuba menghimpit bot peronda menyebabkan tangan salah seorang warga asing berkenaan cedera," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Zainul berkata, dua lelaki dipercayai tekong bot bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri dan usaha menjejaki mereka selama sejam gagal.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot berkenaan membawa penemuan 35 PATI termasuk enam wanita yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan kesemuanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya.

Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002) kerana keluar dari negara melalui pangkalan yang tidak diwartakan dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, PGM Wilayah Dua berjaya menahan 564 PATI ketika cuba memasuki atau keluar secara haram dan sembilan tekong berbanding 371 PATI yang ditahan sepanjang tahun lalu.

Utusan Malaysia Online - Johor

No comments:

Post a Comment