Search This Blog

Thursday, June 30, 2011

7 sukarelawan NGO ditahan

PETALING JAYA: Tujuh sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini, ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya untuk dirakam keterangan.

Semua ditahan di sebuah rumah teres setingkat di Seksyen 4, di sini, selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu premis itu sebaik mendapat maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang dijalankan di premis itu.


Mereka ditahan termasuk bekas penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Pulau Pinang, Lau Shu Shi, selain tiga wanita dan dua lelaki yang masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya menyerbu premis terbabit sebaik menerima maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang di premis itu.


“Kami juga menemui ratusan kemeja-T berwarna kuning mempunyai logo Bersih yang disimpan di premis itu,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.


Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas pertubuhan itu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mendapati ia tidak berdaftar dan sebagai sebuah pertubuhan haram, mereka tidak boleh mencetak logo.

Katanya, pihaknya menyerahkan kes itu kepada ROS untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966.


“Tujuh sukarelawan itu kemudian dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.myMetro | 7 sukarelawan NGO ditahan

No comments:

Post a Comment