Search This Blog

Tuesday, June 7, 2011

21 tuduhan suapan RM24,900


SEREMBAN 6 Jun - Bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas 21 tuduhan memberi rasuah sebanyak RM24,900 kepada pemain skuad berkenaan bertujuan mengatur keputusan satu perlawanan merebut piala tersebut pada April lalu.

Yusarman Yusof, 35, dari Paroi, dekat sini yang memakai kemeja T dan berseluar jean mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.
Rasuah bola sepak pernah menggemparkan negara pada 1994 dan 1995 apabila lebih daripada 100 pemain dan pegawai ditahan polis kerana disyaki mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana dan Piala Malaysia.
Berikutan itu, 26 pemain dan jurulatih dikenakan tindakan buang daerah mengikut Akta Kediaman Terhad manakala hampir 60 lagi digantung permainan antara satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pada prosiding hari ini, Yusarman bersama dua lagi yang masih bebas didakwa memberi suapan wang tunai RM300 setiap seorang kepada sembilan pemain skuad muda berkenaan di sebuah pusat karaoke di Pusat Komersial Cempaka, Taman Cempaka, Senawang, dekat sini kira-kira pukul 9 malam, 19 April lalu.
Tertuduh yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) pada 25 Mei lalu setelah digantung tugas selama 20 hari, turut didakwa memberi wang tunai RM200 kepada seorang lagi pemain di dalam sebuah kereta di sekitar bandar ini kira-kira pukul 10 malam, hari yang sama.
Wang suapan itu didakwa diberi sebagai dorongan bagi membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain skuad Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang dalam satu perlawanan Piala Presiden di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lalu.
Bagi pertuduhan seterusnya, Yusarman bersama seorang lagi yang masih bebas turut didakwa memberi suapan RM2,000 setiap seorang kepada 10 pemain tersebut dan seorang lagi pemain yang lain dengan tujuan yang sama di sebuah pusat karaoke di Senawang, kira- kira pukul 5 petang, 22 April lalu.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(B)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Jasmi Buang dan Mohd. Asri Abd. Rahman Sidikoleh menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.
Peguam Mohd. Nor Hisham Hussain yang mewakili Yusarman pula memohon wang jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan selain perlu menanggung isteri dan seorang anak serta kedua-dua ibubapanya.
Nursinah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan sementara menunggu sebutan semula kes pada 5 Julai ini.
Utusan Malaysia pada 27 Mei lalu melaporkan, PBNS membuat laporan polis kerana mengesyaki beberapa pemain termasuk pihak pengurusan skuad bola sepak Piala Presiden negeri ini terlibat dengan kegiatan mengatur keputusan perlawanan.
Laporan itu dibuat selepas terdapat beberapa bukti dan saksi tampil sekali gus menjawab persoalan berhubung prestasi hambar skuad muda pasukan tersebut dalam kempen Piala Presiden sejak tahun lalu.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment