Search This Blog

Tuesday, May 31, 2011

Warga Indonesia mati dibunuh



KUANTAN 30 Mei – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai dibunuh di sebuah kebun nangka milik persendirian di Tebing Tinggi, Bandar 32 dekat Bera, semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai ‘Wak Temuji’ berusia 40 tahun baru bekerja dan tinggal di kebun tersebut kira-kira dua bulan lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Nordin Mustapha berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kejadian tersebut pukul 3.30 petang.
“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tertiarap dan hanya memakai seluar panjang. Terdapat kesan pukulan dengan objek tumpul di kepala mangsa.
“Kita percaya mangsa dipukul dengan kayu dan batang cangkul berikutan penemuan objek itu kira-kira 20 meter dari pondok mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Nordin berkata, pihaknya sedang mengesan seorang wanita dipercayai isteri mangsa yang tinggal dengannya di pondok di kebun tersebut.
Jelasnya, berdasarkan maklumat awal wanita itu baru sahaja tinggal dengan mangsa kira-kira dua minggu lalu dan dia diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Hasil bedah siasat semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini mendapati mangsa mati dipukul dengan objek keras di kepalanya dan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui,” ujarnya.
Katanya, dokumen pengenalan mangsa masih belum ditemui dan pihaknya belum mengambil keterangan daripada pemilik kebun terbabit.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih disiasat.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment