Search This Blog

Thursday, May 12, 2011

Tiga pelanggan TNB lapor polis



MENTAKAB – Tiga pemilik kediaman yang bakal dikenakan pemotongan bekalan elektrik akibat gagal melunaskan bayaran bil kerana pengusikan meter menegaskan bahawa mereka enggan membayar tunggakan tersebut.

Tiga pemilik kediaman terbabit, Yap Bi Hie, Sim Bok yang diwakili anaknya Sim Hock Loong dan S.Rajeswari semalam, membuat laporan polis kerana membantah tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan di kediaman mereka.

Mereka turut berasa kesal kerana TNB mendakwa mereka melakukan pengusikan meter sekali gus menyebabkan mereka perlu membayar tunggakan bil yang tinggi.

Bi Hie mendakwa dia tidak membuat sebarang pengusikan pada meter, bagaimanapun, dia dikenakan bayaran tunggakan sebanyak RM12,184.17 manakala Rajeswari perlu membayar lebih RM9,000.

Seorang lagi pemilik diwakili anaknya, Hock Leong seorang penoreh getah perlu membayar RM4,402.98. Kesemua mereka tinggal di sekitar Mentakab.

Mereka membuat laporan di Balai Polis Mentakab kira-kira jam 11.30 pagi semalam diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab Datuk Chuah Boon Seong.

Boon Seong berkata, laporan dibuat bagi melahirkan rasa tidak puas hati pengguna kerana perlu membayar kos tunggakan sedangkan mereka mendakwa tidak melakukan pengusikan meter iaitu kesalahan yang boleh mengakibatkan TNB mengambil tindakan terhadap mereka.

Menurutnya, sebagai contoh, Rajeswari perlu membayar lebih RM9,000 walhal dia baru sahaja membeli rumah daripada pemilik asal.

“Saya dimaklumkan TNB, ada berlaku pengusikan meter dan TNB perlu ambil tindakan jika pemilik kediaman gagal membuat bayaran tunggakan.

“Jika TNB nak ambil tindakan itu hak mereka, tetapi sebagai pengguna yang tidak melakukan kesalahan tetapi perlu membayar kos ini adalah satu bentuk penindasan dan kita perlu lawan,” katanya, semalam.

Sinar Harian pada 11 Mac lalu melaporkan berlaku kekecohan apabila TNB bertindak memotong bekalan elektrik di 52 kediaman sekitar Temerloh kerana didakwa ubah meter.

Pengurus TNB Kawasan Temerloh, Affendi Abdul Rahman berkata, tindakan dibuat selepas siasatan dilakukan dan notis diberikan TNB kepada 157 kediaman yang disyaki melakukan pengusikan meter membabitkan kerugian kepada TNB sebanyak RM151,654.05.

No comments:

Post a Comment