Search This Blog

Sunday, May 15, 2011

Terpedaya janji palsu Pak Ngah



KANGAR - Seramai 52 pemohon yang dijanjikan rumah di beberapa taman perumahan di sini kecewa selepas mengetahui individu yang menabur janji akan memudahkan urusan mendapatkan rumah idaman mereka adalah palsu semata-mata.

Seorang pengawal keselamatan, Sabariah Che Hat, 49, berkata, dia sudah membayar RM1,400 kepada individu yang bernama Rosli Ngah atau dikenali sebagai Pak Ngah yang berjanji untuk membantu memudahkan urusan membeli rumah di Taman Santan II di sini.

Menurutnya, dia pernah membuat permohonan untuk mendapatkan rumah di taman berkenaan pada empat tahun lepas bagaimanapun, belum menerima apa-apa jawapan sehingga kini.

“Saya begitu teruja apabila Pak Ngah memberitahu boleh membantu saya memudahkan urusan mendapatkan rumah ini kerana dia bekerja dengan Menteri Besar dan mengenali orang-orang Kerajaan Negeri.

“Untuk urusan itu, saya sudah membuat pembayaran kepadanya secara ansuran sejumlah RM1,400 dan penyerahan kunci akan berlangsung hari ini (kelmarin) di Dewan 2020.

“Bagaimanapun, selepas beberapa jam menunggu, dia (Pak Ngah) langsung tidak kelihatan dan telefon bimbitnya juga telah dimatikan,” katanya ketika ditemui selepas bertindak membuat laporan polis beramai-ramai di Balai Polis Kangar, kelmarin.

Seorang lagi mangsa yang juga seorang sarjan bersara, Hamzah Bidi, 55, berkata, kegembiraannya untuk menetap di rumah baru kecewa selepas menyedari telah ditipu.

Menurutnya, dia sudah membuat pembayaran sebanyak RM1,100 melalui akaun Pak Ngah pada Februari lalu selepas lelaki terbabit memintanya menjelaskan wang pendahuluan sebelum kunci rumah diberikan.

“Hari ini (kelmarin) kami dijanjikan untuk datang mengambil kunci rumah masing-masing di sini dan penyerahan dikatakan akan disempurnakan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

“Namun, selepas menunggu sekian lama, dia tidak muncul malah usaha mengesannya melalui telefon bimbit dan mencarinya hingga ke rumah juga gagal,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, dua beranak yang kini menetap di Pulau Pinang turut tertipu dengan lakonan lelaki terbabit.

Ahmad Mustapha, 56, berkata, dia menerima tawaran Pak Ngah untuk membantu memudahkan urusan mendapatkan rumah di Pangsapuri Sena Kampung Bakau di sini selepas mengetahui lelaki terbabit pernah berkhidmat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sena, Abdul Jamil Saad.

Katanya, dia sudah membayar sejumlah RM600 pada Disember tahun lalu bagi mendapatkan rumah terbabit untuk diberikan kepada anak yang berkahwin dan kini menetap bersama isterinya di negeri ini.

“Saya langsung tidak mengesyaki apa-apa yang mencurigakan selepas mengetahui Pak Ngah pernah bekerja dengan ADUN kawasan terbabit. Namun, kini saya menyesal kerana terlalu mudah mempercayai orang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin menyesahkan menerima laporan berkaitan kes penipuan itu dari berpuluh-puluh individu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengesan suspek yang terlibat dalam kes penipuan itu dan kes disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan yang hadir ke Balai Polis Kangar berkata, beliau akan berbincang dengan Kerajaan Negeri berkaitan masalah berkenaan.

Beliau menganggap kes itu merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan beliau memandangkan lelaki yang dikaitkan dengan penipu berkenaan pernah bekerja dengannya sebelum ini.

Bagaimanapun, telah berhenti tanpa sebarang surat peletakan jawatan tiga tahun lalu.
SH

No comments:

Post a Comment