Search This Blog

Wednesday, May 11, 2011

Stor seludup petrol, diesel dibongkar


TUMPAT: Sebuah stor dikelilingi tembok batu setinggi tiga meter di Kampung Simpangan, di sini, dipercayai menjadi kawasan penyimpanan minyak petrol dan diesel sebelum diseludup keluar ke negara jiran. 


Dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Putrajaya (KPDNKK) pada jam 2 petang semalam, bahan api bernilai RM135,000 dirampas di premis di tebing Sungai Golok di sempadan Kelantan-Thailand itu.
Ketua Operasi KPDNKK, Mohd Hashim Mat Daud, berkata pihaknya merampas 1,000 liter petrol, 88 liter diesel, empat kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dan peralatan digunakan untuk melakukan kegiatan penyeludupan.
Beliau berkata, pihaknya membuat pemantauan sejak jam 11 pagi di beberapa stesen minyak di Meranti, Pasir Mas dan Wakaf Bharu yang dipercayai tempat utama penyeludup mendapatkan minyak. 

"Daripada pemantauan, kami mengekori beberapa kenderaan yang disyaki sehingga kami mendapati mereka memasuki stor berkenaan. 

"Kami mendapati suspek memasuki kawasan stor terbabit sebelum bertindak mengunci pagar bagi mengelakkan kegiatan dikesan," katanya pada sidang media di sini, kelmarin. 

Selepas mengesyaki ada kegiatan penyeludupan, beberapa pegawai KPDNKK memanjat tembok dan cuba menahan empat lelaki yang ketika itu didapati sedang menyedut petrol daripada empat kenderaan. 
"Empat lelaki dipercayai warga asing yang terkejut dengan kehadiran kami bertindak terjun sungai dan berenang ke negara jiran. 

"Kami menemui dua Proton Wira, satu Proton Waja serta Toyota Hilux yang diubah suai tangki,” katanya. 

Mohd Hashim berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan tertuduh boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali, manakala bagi pemilik stor terbabit boleh didenda sehingga RM250,000. 

No comments:

Post a Comment