Search This Blog

Loading...

Wednesday, May 11, 2011

Skru penghadang pun 'disapu'


KEADAAN penghadang yang terjatuh kerana bolt dan nut dicuri.
KEADAAN penghadang yang terjatuh kerana bolt dan nut dicuri.

Pencuri terdesak jual komponen besi kepada pembeli barang lusuh

JOHOR BAHRU: Skru pengikat 'bolt' dan 'nut' pada besi penghadang dan pembahagi jalan sekitar bandar raya ini, dikesan menjadi sasaran mudah kecurian yang didalangi individu tidak bertanggungjawab yang menjual komponen itu sebagai barangan lusuh.
Kecurian komponen itu menyebabkan banyak besi penghadang dan pembahagi jalan sekitar bandar raya ini terpisah daripada tiangnya, selain terjatuh di atas tanah, berbanding keadaan asalnya.
Selain itu, di sesetengah lokasi, besi penghadang yang pendek turut dilarikan pencuri. Harga besi yang tinggi dipercayai menjadi punca utama bolt dan nut pada kemudahan awam itu dicuri.

Antara kawasan yang dikesan menjadi lokasi kecurian komponen terbabit termasuk sekitar Larkin dan Permas Jaya di sini.

Petugas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Taman Bunga Raya Larkin, Zamani Yahya, 35, mendakwa harga tinggi membuatkan komponen pengikat seperti bolt dan nut itu menjadi sasaran utama kecurian.

“Asal saja besi, selagi boleh dicuri, ia pasti dilarikan. Ini bukan saja membabitkan bolt dan nut, sebaliknya besi penutup longkang di kawasan tempat kerja saya juga habis dilarikan pencuri.
“Meskipun diganti baru, namun hanya mampu bertahan seminggu sebelum dilarikan semula oleh pencuri. Pencuri besi biasanya memberi perhatian kepada barangan yang mudah dilarikan berbanding besi penghadang yang panjang kerana ia perlu dipotong, jika tidak peraih besi buruk tidak mahu menerimanya, " katanya.

Zamani mendakwa, ada kalanya pencuri besi bergerak secara kumpulan dengan memakai pakaian seragam dan berkeliaran bersama lori, seolah-olah mahu melakukan kerja penyelenggaraan sebelum melarikan komponen yang menjadi sasaran.

“Saya pernah terserempak sekumpulan lelaki berpakaian seragam yang sedang menanggalkan bolt dan nut pada besi penghadang jalan, ketika ditegur, mereka mendakwa sedang melakukan penyelenggaraan pada kemudahan itu.

“Saya berpendapat sewajarnya Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji peralatan lain dipasang sebagai pengikat penghadang atau pembahagi jalan ini supaya ia lebih sukar dicuri," katanya.

Pensyarah UiTM yang tinggal dekat Permas di sini, Maizura Mohd Isa, berkata pihak berkuasa perlu berusaha membendung kecurian komponen pada bagi penghadang terbabit kerana kemudahan itu untuk keselamatan mana-mana kenderaan yang terbabit dalam kemalangan.

“Jika yang tinggal hanya tiang besi saja, ia sudah pasti membahayakan keadaan. Usaha membanteras kecurian komponen besi ini memerlukan kerjasama dan sokongan pihak," katanya.

Seorang pembeli barangan lusuh dan besi buruk yang ditemui dekat Plentong yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau meraih semua jenis besi pada kadar 60 sen sekilogram (kg), manakala tembaga dibeli pada harga RM15 sekilogram, manakala aluminium diraih pada harga RM38 sekilogram.

Katanya, selain meraih daripada pencari besi buruk yang datang menghantar barangan ke premisnya, beliau juga mempunyai lori untuk keluar membeli secara terus daripada orang ramai di kawasan perumahan yang ingin membuang barangan besi milik mereka. bharian

No comments:

Post a Comment