Search This Blog

Saturday, May 7, 2011

Sindiket edar dadah tumpas



JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sekitar bandar raya ini dengan tertangkapnya tujuh individu dalam serbuan di empat lokasi berasingan, kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan di Nusajaya, Bukit Chagar, Taman Ungku Tun Aminah dan daerah Kluang itu, polis merampas 4.804 kilogram (kg) dadah jenis heroin, wang tunai sebanyak RM1,087 serta menyita enam buat kereta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, operasi itu sudah mula digerakkan pada tahun lalu selepas Biro Narkotik Sentral Singapura memaklumkan kepada pihaknya berhubung aktiviti penyeludupan dadah ke negara berkenaan.

“Polis dimaklumkan Biro Narkotik Sentral Singapura bahawa mereka sudah mengesan dan membuat tangkapan ke atas ramai rakyat tempatan yang cuba menyeludup dadah jenis heroin ke Singapura menerusi Tambak Johor dengan menaiki motosikal.

“Sindiket dadah ini dikesan sudah merekrut pembawa dadah upahan untuk menyeludup dadah ke Singapura dengan mengikuti barisan ribuan pekerja yang ingin memasuki negara berkenaan pada sebelah pagi,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan susulan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman dan negeri ini dengan kerjasama Biro Narkotik Sentral Singapura berjaya mengenal pasti ahli-ahli sindiket seterusnya membuat tangkapan pertama, kelmarin.

“Sekitar jam 3 petang, sebuah rumah yang dijadikan tempat simpanan dadah sindiket terbabit di Taman Teratai diserbu diikuti beberapa lagi tangkapan di sekitar Johor Bahru dan Kluang.

“Kesemua individu yang ditangkap terdiri daripada enam lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun,” katanya.

Selain itu, katanya, tujuh individu terbabit kini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan.

“Kejayaan terbaru ini mempamerkan satu lagi usaha JSJ Narkotik Bukit Aman dan Johor dengan kerjasama agensi penguatkuasa dadah antarabangsa dalam menangani kegiatan penyeludupan dalam di dalam mahupun luar negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment