Search This Blog

Sunday, May 15, 2011

Penjenayah ditembak mati



SEPANG 14 Mei - Tindakan seorang penjenayah melepaskan satu das tembakan ke arah pasukan polis mengundang padah apabila dia mati ditembak di Cyber Valley dekat Dengkil di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kenderaan dan samun bersenjata cuba melarikan diri daripada kepungan pihak polis dengan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek telah diintip sejak pukul 5.30 petang semalam dan mendapati kereta itu merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu kes samun bersenjata api di Taman Megah, Kelana Jaya pada 2 Mei lalu.
"Suspek yang berusia lingkungan 20 tahun menyewa bilik di sebuah hotel bajet di sini dan kita menunggu dia menaiki kereta itu sebelum bertindak mengepungnya.
"Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri ketika diminta keluar oleh polis. Dia telah mengundurkan kereta sejauh 30 meter dengan melanggar kereta polis malah turut melepaskan tembakan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Lelaki terbabit ditembak mati setelah keluar dari kenderaan itu dan bersama suspek, polis menemui sepucuk pistol jenis semi automatik serta peluru.
"Kes curi kenderaan dan samun di Taman Megah itu dilakukan lima suspek dan kita sedang memburu beberapa lagi individu yang masih bebas," katanya.
Suspek yang telah ditembak mati berasal dari Kayu Ara, Damansara dan berdasarkan dokumen peribadi yang ditemui, dia merupakan penjenayah yang dikehendaki.

No comments:

Post a Comment