Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Peniaga maut digilis lori baja




IPOH – Seorang peniaga pasar malam maut, apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel sebelum digilis sebuah lori baja tiga tan, di Persimpangan Taman Bertuah dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa, Sulaiman Tam, 56, dipercayai dalam perjalanan untuk mengambil anak perempuannya di sekolah di kawasan berhampiran.

Mangsa dipercayai maut serta-merta di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Supritendan (DSP) Mohd Rodzi Rejab berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit sedang menunggu giliran masuk ke simpang berkenaan.

“Lori tiga tan itu bergesel dengan motosikal dinaiki mangsa menyebabkannya jatuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa yang menetap di Klebang Restu, kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Isteri Sulaiman, Fauziah Mohd Nor, 50-an, yang bergegas ke lokasi kejadian terpaksa ditenteramkan orang ramai kerana gagal mengawal perasaan sejurus melihat jenazah suaminya terbaring di atas jalan raya.

Dalam masa yang sama, katanya, seorang anggota polis yang tiba di lokasi kejadian bagi mengawal aliran trafik turut dikejarkan ke HRPB akibat dirempuh sebuah motosikal.

“Penunggang motosikal yang leka melihat mayat terbaring tidak sedar kelibat Sarjan Jamaludin Hussin di situ.

“Akibat rempuhan itu, Jamaludin yang bertugas di IPD Ipoh patah pergelangan tumit kaki kiri dan dikejarkan orang awam ke HRPB,” katanya.

No comments:

Post a Comment