Search This Blog

Sunday, May 8, 2011

Penduduk diancam babi liar



KOTA BHARU - Kemunculan babi hutan di kawasan kampung menjadikan 1,200 penduduk di Kampung Lubuk Jambu, Mulong, di sini resah, malahan peringatan kepada penduduk dilakukan bagi mengelak kanak-kanak daripada ancamannya.

Kapten Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Aris Daud berkata, masalah babi berkeliaran di kampung berkenaan dihadapi sejak tiga tahun lalu, namun pada masa sekarang, kemunculan haiwan ini seolah-olah mengancam kehidupan penduduk.

“Kami menerima banyak aduan daripada penduduk kampung terutama daripada mereka yang mengusahakan tanaman termasuk pisang, padi dan ubi kayu yang dirosakkan babi berkenaan.

“Lebih membimbangkan, terdapat penduduk yang melihat babi berkenaan berkeliaran di kawasan Masjid Kampung Lubuk Jambu dan masalah ini perlu cepat diselesaikan memandangkan masjid itu rumah ibadah,” katanya kepada Sinar Harian semasa Operasi Bersama Menembak Babi Liar Kampung Lubuk Jambu, di sini, semalam.

Berikutan operasi yang dilakukan atas inisiatif 45 penduduk, tujuh babi liar berjaya ditangkap pada setelah hampir lapan jam hasil kerjasama perburuan yang dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta anjuran Jawatankuasa kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Lubuk Jambu.

Beliau berkata, waktu yang dikenal pasti babi keluar dari jam 9 malam hingga awal pagi, malahan jarang yang melihat babi itu berkeliaran pada waktu siang.

Menurutnya, ada juga kes yang menyebabkan penunggang motosikal hampir mengalami kemalangan akibat babi yang hadir secara berkumpulan dan tunggal (seekor).

“Ia menakutkan penduduk terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil kerana kanak-kanak tidak mengenali babi ini sedangkan bagi umat Islam, cara penyucian babi perlu teliti.

“Jadi, untuk mengelak sebarang kemungkinan, penduduk kampung mengambil langkah keselamatan dengan membuat pengumuman operasi selepas solat di masjid,” katanya.

Selain itu, pemberitahuan juga dilakukan dengan mengedarkan surat-surat kepada penduduk kampung khasnya kanak-kanak dan warga emas agar lebih berwaspada.

Katanya, tiga sepanduk mengenai operasi juga digantung di kawasan kampung bagi memberi peringatan terutama semasa keluar pada waktu malam.

Katanya, usaha akan diteruskan memandangkan masih banyak babi berkeliaran dan dengan bantuan haiwan buruan (lima anjing pengesan) serta kerjasama Balai Polis Nilam Puri, diharap masalah itu dapat diselesaikan.

No comments:

Post a Comment