Search This Blog

Tuesday, May 31, 2011

Pemandu teksi disimbah asid masih koma




MASIH KOMA: Tanpa motif jelas, Encik Khairul Zaman disimbah asid hingga mengakibatkan hampir keseluruhan badan dan mukanya lecur serta mencacatkan penglihatannya seumur hidup. -- Foto HARIAN METRO


JOHOR BAHRU: Seorang pemandu teksi berusia 47 tahun, Encik Khairul Zaman Jaiman, bersabung nyawa di Wad Rawatan Kebakaran Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selepas menjadi mangsa simbahan asid yang mencacatkan hampir keseluruhan badan, muka dan penglihatannya.
'Mereka yang melakukan ini dayus. Akibatnya, suami saya bukan saja melecur hampir keseluruhan muka dan badan hingga ke paras pinggang, malah cacat penglihatan seumur hidup,' kata isteri mangsa simbahan asid itu, Cik Zaiton Aris, 50 tahun, kelmarin.Menceritakan kejadian yang menyayatkan hati itu, Cik Zaiton berkata ia berlaku kira-kira 12 tengah hari pada 5 Mei lalu apabila teksi suaminya ditahan dua lelaki menaiki kereta jenis Proton Saga warna putih di Jalan Sena, Taman Rinting, di sini, iaitu sekitar satu kilometer dari kediaman mereka.'Saya difahamkan, beliau memberhentikan kenderaan apabila dua lelaki itu mahu menanyakan arah. Apabila suami saya menurunkan cermin kenderaan, seorang daripada mereka menyimbah asid ke muka suami saya.'Suami saya meraung kesakitan sambil meminta tolong sebelum orang awam yang berada di lokasi itu menyiram air dan menghantarnya ke hospital,' kata beliau.Cik Zaiton berkata akibat simbahan asid itu, suaminya masih koma dan dua kali menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan teruk di bahagian muka dan badannya, lapor akhbar Harian Metro semalam.Suri rumah itu berkata keluarganya keliru dengan niat jahat penyerang suaminya itu memandangkan Encik Khairul Zaman adalah seorang yang mesra, penyayang dan belum pernah menunjukkan tanda beliau mempunyai musuh.'Suami saya tidak pernah menerima ugutan daripada mana-mana pihak, malah dia juga tidak mempunyai musuh.'Akibat kejadian itu, masa depan keluarga saya gelap kerana kami bergantung kepada pendapatan suami saya sepenuhnya, termasuk membiayai persekolahan empat anak kami,' kata Cik Zaiton kelmarin.Sementara itu, ketua polis Daerah Seri Alam, Superintenden Roslan Zainuddin, berkata sejauh ini belum ada suspek yang ditahan, dan kes itu masih disiasat pihak berkuasa. -- Harian Metro.Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment