Search This Blog

Sunday, May 8, 2011

Pelajar Tahun Lima Mati Lemas Selepas Mandi Di Sungai Belat



KUANTAN: Seorang pelajar tahun lima ditemui mati lemas selepas mandi di Sungai Belat di sini, petang tadi.
Mangsa, Mohd Nor Aiman Hassan, 11, pelajar Sekolah Kebangsaan Mat Kilau di sini pergi ke sungai berkenaan bersama seorang rakannya.
Kedua-dua mangsa kemudian dipercayai mandi berhampiran tebing sungai itu sebelum lemas.
Seorang saksi, Khairul Nizam Kamal, 16, berkata dia yang kebetulan pergi ke sungai itu untuk melihat orang memancing kira-kira 2.30 petang tadi ternampak tangan kedua-dua mangsa sedang terkapai-kapai.
"Saya kemudian terjun ke dalam sungai dan sempat membawa seorang (mangsa) ke tebing," katanya ketika ditemui di sini, Sabtu. Katanya dia ingin terjun semula ke sungai untuk menyelamatkan seorang lagi mangsa, namun Mohd Nor Aiman telah hilang dari pandangannya.
Seorang lagi saksi, Mimah Isnin, 45, berkata ketika kejadian, dia sedang membawa makanan untuk suaminya yang memancing ikan tidak jauh dari tempat kedua-dua mangsa mandi.
"Saya terdengar suara seolah-olah orang memanggil nama saya dan apabila saya menghampiri dua budak yang berada di tebing sungai, baru saya mengetahui sebenarnya seorang daripada mereka menjerit nama rakannya yang lemas di dalam sungai," katanya.
Katanya dia kemudian menghubungi talian kecemasan memaklumkan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Penolong Penguasa Mohd Lazim Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.44 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota.
"Pihak kami kemudian melakukan selaman dan menemui mangsa di tempat dia dilaporkan hilang pada jam 3.35 petang," katanya.
Mayat Mohd Nor Aiman, dari taman perumahan Gudang Rasau di sini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment