Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Padah curi air Sains


RASAH 9 Mei – Gara-gara membuat penyambungan secara haram untuk mencuri air, seorang pemilik rumah di Taman Tuanku Jaafar dekat sini menerima padah selepas dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), di sini hari ini.

Serbuan yang dilakukan hasil dari intipan beberapa hari dilakukan sepasukan pegawai dan anggota kedua-dua jabatan berkenaan diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohadir Hid, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Jurucakap Sains menjelaskan, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati kawasan kediaman itu berkenaan sememangnya membuat penyambungan air secara haram dari paip utama di bahagian luar.
“Pemeriksaan di pusat itu mendapati berlaku penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 25 milimeter daripada paip utama milik Sains.
“Selain itu, ujian klorin dijalankan untuk memastikan sama ada bekalan air premis berkenaan adalah air terawat milik Sains atau sebaliknya,” kata jurucakap itu di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, satu notis memaklumkan kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik premis berkenaan dan paip yang digunakan turut disita sebagai bahan bukti.
Jelasnya, pemilik rumah berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 dan semua paip penyambungan itu disita untuk dijadikan sebagai bahan bukti.
“Jika sabit kesalahan, hukuman denda diperuntukkan mengikut seksyen itu ialah RM50,000 atau penjara lebih enam bulan atau kedua-dua sekali,” katanya
Katanya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan berterusan bagi mengesan kegiatan curi air di seluruh negeri ini tanpa mengira sama ada ia membabitkan pengguna komersial atau domestik.

No comments:

Post a Comment