Search This Blog

Saturday, May 7, 2011

Minta bicara


PETALING JAYA: Seramai 28 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri, termasuk besi rel dan kayu landasan bernilai lebih RM700,000, Mac lalu.
Semua tertuduh berusia antara 23 hingga 47 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah, dihadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan, semua lelaki berkenaan melakukan perbuatan curi antara Mac hingga 1 Mei di sebuah stesen kereta api lama, Lapangan Terbang Subang, di sini.

Mereka didakwa mencuri 2,000 meter rel, 350 kayu landasan, 7,812 skru jenis Nabla, empat nos switch sesimpang, tiga nos buffer stop, 394 alat sambungan rel fish plate dan 1,576 nos fish bolt yang kesemuanya bernilai RM734, 802.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Zahrah Ramli mencadangkan jaminan RM70,000 dengan dua penjamin terhadap setiap tertuduh dengan alasan kes serius.


Bagaimanapun, semua peguam bela yang masing-masing mewakili semua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan dengan pelbagai alasan, termasuk tidak berkemampuan.

Majistret Nor Afidah Idris membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 14 Jun depan.
Akhbar Rabu lalu melaporkan sekumpulan 26 lelaki yang sibuk memotong besi rel dan kayu landasan kereta api di stesen kereta api lama berkenaan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang terkedu apabila diserbu sepasukan polis, petang Ahad lalu.

Mereka terdiri daripada tujuh warga tempatan, empat warga Bangladesh dan 15 warga India berusia 25 hingga 45 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

No comments:

Post a Comment