Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Mimpi anak jatuh dalam air




KARTIKA Sari bersama Muhammad Affandi  mengiringi jenazah Muhammad Azfar  ketika dibawa pulang dari rumah mayat Hospital Sungai Siput  ke kediaman keluarganya di Kampung Jawang sebelum dikebumikan,  semalam.

KARTIKA Sari bersama Muhammad Affandi mengiringi jenazah Muhammad Azfar ketika dibawa pulang dari rumah mayat Hospital Sungai Siput ke kediaman keluarganya di Kampung Jawang sebelum dikebumikan, semalam.

Bapa saudara temui mayat mangsa tersangkut di tepi sungai

SUNGAI SIPUT: "Pada malam kehilangannya, saya bermimpi Muhammad Azfar terjatuh di dalam air dan saya tidak sempat menarik tangannya sebelum dia tenggelam," kata bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarnor dengan nada sebak selepas anaknya yang hilang sejak dua hari ditemui lemas di Sungai Perak, pagi semalam.
Kartika Sari berkata, beliau reda dengan pemergian Muhammad Azfar Muhammad Affandi, 9, malah naluri keibuannya kuat mengatakan dia akan kehilangan anak sulungnya sejak hari pertama dia hilang.
“Malah, beberapa perilaku pelik sebelum pemergiannya sudah membuatkan saya pasrah dengan keadaan ini. Malam sebelum dia hilang, dia tidur bersama saya, tetapi arwah sempat keluar dari bilik dan melihat wajah semua ahli keluarga terutama datuk, nenek, adik dan sepupunya yang lain.

“Ketika itu mukanya kelihatan sangat bersih dan dia sering tersenyum,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sungai Siput di sini, semalam.

Kanak-kanak itu yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan akal disedari hilang jam 12 tengah hari, Sabtu lalu, ketika tinggal di inap desa milik keluarga mereka di Kampung Jawang di sini yang terletak berhampiran Sungai Perak.

Mayat Muhammad Azfar ditemui hampir satu kilometer dari inap desa itu pada jam 1 pagi, dalam keadaan terapung di permukaan air, manakala kakinya tersangkut pada kayu di tebing sungai.
Penemuan mayat mangsa adalah atas daya usaha bapa saudaranya yang tanpa jemu bersengkang mata mencari Muhammad Azfar, sejak arwah didapati hilang.

Muhammad Hatta Shukarnor, 37, menyusuri sepanjang sungai itu menggunakan bot untuk mencari anak buahnya walaupun pihak keselamatan sudah memberhentikan sementara operasi menyelamat pada jam 12 tengah malam kelmarin.

“Saya tidak lena tidur kerana ingin mencari arwah dan dengan bot itu saya menghimpit ke tebing sungai. Hati saya terdetik mungkin anak saudara saya memang berada di dalam sungai itu kerana pada malam tadi (kelmarin), paras air sungai tiba-tiba surut sehingga 1.5 meter (m), padahal dua hari sebelum paras air tinggi sekitar 3 hingga 4.5 m.

“Saya fikir itu mungkin petunjuk daripada Allah yang memberi ilham bahawa anak saudara saya berada di situ.

“Tanpa membuang masa, saya menyuluh sekitar tebing sungai dan menemui mayat anak buah saya,” katanya.

Turut berada di Bilik Mayat Hospital Sungai Siput ialah bapa Kartika Sari, Shukarnor Abd Mutalib, 62, dan bekas suaminya, Muhammad Affandi Amir, 40, yang menunggu jenazah Muhammad Azfar selamat dimandikan. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pendiat, berdekatan Kampung Jawang, selepas solat Zuhur.
bharian

No comments:

Post a Comment