Search This Blog

Tuesday, May 31, 2011

Maut ditumbuk lepas minta bayaran


AMPANG: Hanya kerana menuntut bayaran minuman RM30, seorang lelaki berusia 49 tahun maut apabila ditumbuk bertubi-tubi seorang lelaki warga Britain.
Sebelum itu, lelaki terbabit tiba-tiba naik berang dengan insiden pergaduhan membabitkan mangsa dan seorang pelanggan wanita di sebuah restoran di Pandan Indah, di sini, awal pagi semalam. Difahamkan, lelaki yang juga abang kepada pemilik restoran berkenaan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sumber berkata, semuanya bermula kira-kira jam 1 pagi apabila seorang pelanggan wanita dipercayai warga Thailand menikmati minuman di restoran berkenaan.

“Wanita terbabit memesan minuman keras dan selepas meminumnya, dia mahu meninggalkan restoran berkenaan tanpa membuat bayaran.

“Bagaimanapun, tindakan wanita itu cuba dihalang mangsa, malah turut memujuknya supaya membayar minuman berkenaan. Ketika itu, wanita terbabit dalam keadaan mabuk,” katanya.


Menurutnya, wanita berusia 20-an itu berdegil dan mahu terus beredar.

“Bengang dengan tindakan wanita itu, mangsa menarik tangannya untuk dibawa berjumpa pemilik restoran berkenaan.

“Malangnya, dalam pergelutan itu, seorang lelaki warga asing tiba-tiba menghampiri mereka dan menumbuk muka mangsa,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit menumbuk mangsa bertubi-tubi beberapa minit walaupun mangsa menjerit dan meminta suspek berhenti menumbuknya.

“Lelaki terbabit hanya berhenti menumbuk mangsa selepas mendapati muka mangsa berdarah dan tidak bergerak.


“Orang awam yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian,” katanya.


Sumber berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ampang, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


Menurutnya, suspek direman enam hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
myMetro | Maut ditumbuk lepas minta bayaran

No comments:

Post a Comment