Search This Blog

Sunday, May 15, 2011

Maut ditembak

SEPANG: Seorang penjenayah yang dikehendaki polis maut ditembak selepas merempuh kereta polis di Cyber Valley, Dengkil, di sini, malam kelmarin.
Suspek yang berusia 20-an itu turut dikatakan melepaskan satu das tembakan sebaik menyedari kehadiran polis dalam kejadian, jam 10.15 malam.

Dia yang bersembunyi di sebuah hotel di sini dilihat turun melalui pintu belakang sebelum memasuki kereta jenis Alphard.

Tindakannya cuba melawan anggota polis ketika dikepung membawa padah apabila dia ditembak mati.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek diintip sepasukan polis sejak jam 5.30 petang kelmarin dan mendapati kereta yang diletakkan di belakang hotel itu dilaporkan hilang dalam kes samun bersenjata api di Taman Megah, Kelana Jaya, 2 Mei lalu.

“Sebaik memasuki keretanya, dua kereta polis mengepung kereta suspek dari arah depan dan belakang.


“Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri ketika diminta keluar oleh polis apabila merempuh kereta polis. Malah, dia turut melepaskan tembakan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan ketika suspek keluar dari kereta dan cuba melepaskan tembakan ke arah polis.
“Suspek maut di tempat kejadian. Hasil pemeriksaan mendapati suspek menggunakan pistol jenis semi automatik. Polis turut menemui peluru di dalam kereta berkenaan,” katanya.

Tun Hisan berkata, suspek menyewa dua bilik hotel sejak 9 Mei lalu dan polis percaya dia tidak bersendirian.

No comments:

Post a Comment