Search This Blog

Sunday, May 15, 2011

Mangsa asid kritikal

ALOR SETAR - Keadaan mangsa kes simbah asid di Kampung Sentang, Utan Aji, Perlis awal pagi kelmarin, Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 24 dilaporkan masih kritikal dan mengalami kecederaan parah hampir 50 peratus daripada keseluruhan anggota badan.

Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, mangsa sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kira-kira jam 2 pagi sebelum dirujuk dan dihantar ke HSB kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, mangsa diberi bantuan pernafasan dan hasil ujian kertas litmus mengesahkan cecair yang disimbahkan ke arah bahagian muka dan badan mangsa adalah asid.

“Mangsa ketika ini dipindahkan ke Unit Rawatan Kebakaran HSB untuk mendapatkan rawatan intensif.

“Mangsa juga akan menjalani pembedahan mata dalam masa terdekat bagi menyelamatkan penglihatannya dan beberapa pembedahan lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.

Semalam, seorang pemandu lori pasir tidak menyangka tindakannya membuka pintu selepas diketuk beberapa kali memberi laluan kepada musuh untuk menyimbah asid ke arah mukanya, awal pagi semalam.

Kesan dari simbahan kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Muhamad Hanif mengalami cedera parah di bahagian muka dan badan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, ketika kejadian, mangsa yang baru pulang kerja sedang bersiap sedia untuk tidur. Bagaimanapun, terpaksa bangun selepas mendengar bunyi ketukan pintu beberapa kali.

Menurutnya, sejurus membuka pintu, seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan pintu utama rumahnya, bertindak mencurah sejenis cecair iaitu asid ke arah mangsa sebelum melarikan diri.
SH

No comments:

Post a Comment