Search This Blog

Saturday, May 21, 2011

Lelaki milik senjata api ada 5 rekod jenayah


JOHOR BAHRU: Tidak serik walaupun mempunyai lima rekod jenayah lampau, seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Mati, Ledang, petang Rabu lalu. 


Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua pucuk pistol dan peluru, pedang samurai dan beberapa paket plastik kecil mengandungi dadah.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata hasil maklumat awam, sepasukan polis dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang menyerbu sebuah rumah di Sungai Mati, kira-kira jam 2.25 petang.
“Ketika serbuan, polis menemui dua beg hitam dengan salah satunya mengandungi sepucuk pistol dan 22 peluru hidup; dua kelopak peluru; satu sarung peluru; tiga bilah pedang samurai; sepasang gari; tiga paket kecil dadah; tiga pil ecstasy dan sebiji pil Eramin 5. 

“Sebuah lagi beg didapati mengandungi sepucuk pistol disyaki palsu bersama satu kelopak peluru," katanya kepada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam. 

Mohd Mokhtar berkata, dengan penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 27 kes jenayah yang membabitkan lelaki berkenaan. 

“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau serta lima rekod jenayah membabitkan kes dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah. 
“Suspek direman sehingga Rabu ini bagi siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, serta Seksyen 8(A) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata, polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 35 tahun di Taman Pelangi, di sini kira-kira jam 1.15 pagi kelmarin, selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan kenderaan di bandar raya ini. 

Beliau berkata, polis merampas dua 'Allen key' serta satu palam pencucuh kenderaan yang diubahsuai dipercayai digunakan sebagai peralatan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan. 

“Turut ditemui, satu paket dadah jenis syabu, tujuh biji pil Eramin 5 dan beberapa alatan untuk menagih dadah. 

“Semakan rekod mendapati seorang suspek masih dikehendaki membabitkan kes dadah dan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau dalam kes dadah dan curi kenderaan di bandar raya ini," katanya. 

No comments:

Post a Comment