Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Lanun menyamar peniaga


Kumpulan 'Lima Sore' kumpul maklumat rancang rompakan 


JOHOR BAHRU: Kumpulan penyamun negara jiran yang menjadikan kegiatan merompak kapal dagang sekitar perairan Pengerang dan Tanjung Piai, dekat sini dikesan menyamar peniaga tukar barang untuk mengumpul maklumat sebelum menceroboh sasaran dikenal pasti memberi pulangan lumayan kepada mereka.
Sasaran mereka setakat ini hanyalah alat ganti kapal serta barang kemas milik kelasi kerana lebih mudah dijual, berbanding menawan kapal seperti dilakukan lanun Teluk Eden.
Risikan pihak berkuasa mendapati ada juga penyamun bekerja sebagai pencuci kapal dan kontrak penyelenggaraan di kapal dagang yang berlabuh, dan pada masa sama mendalangi kegiatan menyamun selepas mengumpul maklumat yang diperlukan. 

Kumpulan terbabit turut memiliki rangkaian pengumpul maklumat mereka sendiri daripada kumpulan peniaga tukar barang ‘Lima Sore’ seperti minuman, buah-buahan dan makanan dengan diesel selepas waktu kerja. 

Kegiatan tukar barang dengan kelasi kapal memang amalan sejak sekian lama, seolah-olah menjadi tradisi di kawasan perairan. 

Ketua Penguat kuasa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, berkata pihaknya sedang memantau kegiatan itu walaupun kebanyakan ahli kumpulan aktif di perairan Indonesia. 
“Hasil tangkapan tujuh penyamun di perairan Pengerang baru-baru ini, mendapati ada lagi kumpulan lain mensasarkan kapal kontena dan kapal tangki yang berlabuh di Pengerang dan Tanjung Piai. 

“Alat ganti kapal dan barang kemas milik kelasi lazimnya menjadi sasaran lanun sekitar perairan Pengerang, manakala di Tanjung Piai mereka mensasarkan barangan kemas. Alat ganti kapal mempunyai pasaran tinggi di Indonesia dan kerana itu mereka sanggup melakukan apa saja," katanya kepada Berita Harian. 

Kumpulan Lima Sore juga mendapat maklumat melalui komunikasi dengan kelasi kapal warga Indonesia, malah ada antara mereka boleh naik ke kapal disebabkan hubungan baik dengan anak kapal terbabit. 

“Walaupun kegiatan mereka sering berlaku di perairan Indonesia, iaitu sekitar Pulau Karimun, kami memandang serius kerana kemungkinan mereka merompak kapal di perairan negara terutama di Tanjung Piai yang berada kira-kira lima batu nautika dari sini tetap ada dan perlu pengawasan rapi,” katanya. 

“Kerana itu kita sentiasa menjalankan rondaan sekitar dua perairan berkenaan kerana bimbang wujud kegiatan jenayah terancang itu. Kehadiran kapal peronda juga menyukarkan mereka melakukan jenayah selain memudahkan kita menjejaki kerana sentiasa berada di perairan itu," katanya. 

No comments:

Post a Comment