Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Kes rasuah Ketua Cabang PKR dibicara pada 4 Julai


9 MEI 2011: Ketua Cabang PKR Rantau Panjang, Mohamad Agos Mohd Noor dengan gaya tersendiri sejurus keluar daripada perbicaraan kes bersubahat dengan Nor Azimah Jamaludin bagi mendapatkan gelaran Datuk di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. - Utusan/MOHD NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 9 Mei - Mahkamah Sesyen, di sini, menetapkan 4 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan kes Ketua Cabang Pakatan Rakyat (PKR) Rantau Panjang, Kelantan, Mohammad Agos Mohd Noor, yang didakwa bersubahat dengan seorang ibu tunggal untuk menerima rasuah RM50,000 berhubung penganugerahan ”Dato Diraja” daripada sebuah persatuan kerabat, tahun lepas.

Dalam prosiding sebutan semula kes itu hari ini, Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa untuk kes tersebut dibicara bersama.
Abdul Razak sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa seorang lagi Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh, telah membenarkan kes Mohammad Agos dipindahkan untuk dibicara bersama dengan Nor Azimah Jamaludin, 31, di hadapan Hakim Rosbiahanin.
Katanya, kes Nor Azimah di Mahkamah Sesyen Shah Alam iaitu dua lagi tuduhan menerima suapan RM150,000 daripada seorang ahli perniagaan, selain dua pertuduhan pilihan menipu bagi mendapatkan anugerah yang sama, turut dibicarakan bersama.
Beliau memaklumkan seramai 10 saksi pendakwaan akan dikemukakan untuk memberi keterangan sepanjang prosiding itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment