Search This Blog

Thursday, May 26, 2011

Kayuh basikal 40 km cari bapa




SERDANG – Demi kasih seorang anak terhadap bapa kandung yang terpisah sejak sekian lama, seorang remaja kurang upaya (OKU) sanggup mengayuh basikal sejauh kira-kira 40 kilometer untuk meminta pertolo­ngan orang kampung bagi menjejaki insan tersayang yang dipercayai menghilangkan diri itu.

Dalam keadaan cuaca panas terik, biarpun tidak sempurna seperti insan lain, Muhammad Hakim Rohimin Abdullah, 19, mengerah keringat dengan kudrat tidak seberapa, menunggang basikal menjejaki bapanya yang terpisah sejak lebih 10 tahun lalu, dengan harapan insan yang dirindunya itu ditemui semula.

Rohimin yang secara kebetulan terserempak dengan wartawan Sinar Harian di pekarangan Balai Polis Dungun memberitahu, dia mula menjejaki bapanya sejak tinggal bersama neneknya di Kampung Serdang setelah menjadi penghuni Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Alor Akar, Kuantan.

Rohimin berkata, hasrat untuk menjejaki bapanya yang dipercayai menghilangkan diri selepas dikatakan mengalami masalah rumah tangga dengan ibunya yang hanya dikenali sebagai Rohayati, timbul selepas dia kasihan melihat adik beradiknya terpaksa tinggal bersama neneknya yang kini uzur di Kampung Serdang.

“Saya rayu pada ayah, pulanglah. Kami adik beradik amat merindui abah. Kasihanlah pada kami yang kini hidup terbiar tanpa kasih sayang.

“Pada ibu pula kami rayu agar kembali semula ke pangkuan kami. Tidak kasihankah pada saya yang kurang upaya ini? Sanggup kayuh basikal merata-rata tempat untuk cari ayah dan ibu. Kalau saya mati kemalangan pun tak apa sebab Tuhan tahu niat saya nak cari ibu bapa,” kata Rohimin sambil mengesat air matanya.

Rohimin dalam nada sayu berkata, jika ada sesiapa yang tahu di mana bapanya berada dan tahu kisah mereka, dia merayu mereka berhubung dengannya yang kini tinggal di Kampung Serdang.

“Saya orang miskin, kalau ada orang jumpa ayah saya, beritahulah. Nak bagi hadiah saya tidak mampu, cuma Tuhan sahaja yang dapat membalasnya dunia akhirat,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment