Search This Blog

Tuesday, May 31, 2011

Hospital diperintah bayar RM35,000 kepada bekas jururawat



PULAU PINANG 30 Mei - Bekas Supritendan Perubatan Hospital Lam Wah Ee (LWEH), Datuk Dr. Tan Chong Siang dan tiga yang lain hari ini diperintah membayar ganti rugi RM35,000 kepada seorang bekas jururawat hospital tersebut kerana didapati cuai sehingga menyebabkan kematian bayi wanita itu, 11 tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Nurmala Salim memerintahkan demikian setelah membenarkan tuntutan saman oleh Loo Wee Woon, 35, terhadap Chong Siang dan Presiden LWEH, Chua Chuan Teong; Setiausaha Chuan Teong, Chong Kum Kwan dan Pakar Ginekologi, Dr. Quah Thong Sai.
Jumlah tersebut merangkumi ganti rugi RM10,000 akibat kecuaian hingga menyebabkan kematian bayi, ganti rugi teladan RM20,000 dan kos pengkebumian bayi sebanyak RM5,000.
Dalam penghakimannya, Nurmala berkata, Wee Woon gagal mendapat ganti rugi am kerana mahkamah tidak menerima sebarang laporan perubatan yang mendakwa dirinya mengalami masalah pada bahagian pundi kencing selepas anak yang dilahirkan meninggal dunia.
‘‘Malah Wee Woon gagal melampirkan sebarang laporan daripada pegawai psikiatri yang membuktikan dia mengalami masalah tekanan atau trauma akibat kejadian itu.
‘‘Plaintif (Wee Woon) juga gagal mendapatkan ganti rugi khas kerana terdapat percanggahan dalam keterangannya di mahkamah dengan pernyataan tuntutannya bahawa dia terpaksa memakai lampin pakai buang dan tuala wanita setiap masa sejak kejadian itu,’’ katanya.
Wee Woon diwakili peguam bela Jason Ong dan N. Ahilan manakala LWEH diwakili peguam J.J. Chan dan B. Bala Mahesan.
Pada 2 Disember 2000, Wee Woon yang bersalin di hospital tempatnya bekerja mengalami masalah pada rahim hingga mengganggu pundi kencingnya manakala anak yang dilahirkannya itu, meninggal dunia keesokan hari akibat pendarahan serius pada jantung.
Akibat kejadian itu, Wee Woon mendakwa mengalami masalah mengadakan hubungan seksual dengan suaminya dan masalah pundi kencing hingga menyebabkan dia terpaksa memakai lampin pakai buang dan tuala wanita setiap masa.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment