Search This Blog

Thursday, May 26, 2011

Hosni Mubarak hadapi tuduhan membunuh



KAHERAH 25 Mei – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak semalam diarah menjalani perbicaraan atas tuduhan membunuh penunjuk perasaan dalam kes yang boleh membawa hukuman mati.
Keputusan Peguam Negara itu menamatkan spekulasi kononnya tentera yang memerintah Mesir akan menyelamatkan Mubarak daripada sebarang hukuman keras dan diaibkan di mata umum.
Mubarak yang disingkirkan pada 11 Februari lalu ekoran protes besar-besaran yang menuntut beliau berundur, disoal siasat mengenai peranannya berhubung tindakan pasukan keselamatan yang menyebabkan kematian lebih 800 penunjuk perasaan, selain disiasat berkaitan dakwaan rasuah.
Peguam Negara, Abdel Meguid Mahmoud berkata, Mubarak yang kini ditahan di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, akan dibicarakan atas beberapa tuduhan termasuk melakukan ‘pembunuhan terancang’, yang boleh membawa hukuman mati.
Perkembangan di Mesir, negara paling ramai penduduk di dunia Arab, akan memberi kesan di seluruh rantau itu yang telah digegarkan dengan protes dan kekacauan.
Membicarakan Mubarak atas tuduhan tersebut boleh menyebabkan pemimpin Arab lain keberatan untuk melepaskan kuasa, kata penganalisis.
Dua anak lelaki bekas Presiden itu, Alaa dan Gamal turut dirujuk kepada mahkamah jenayah atas tuduhan sama, menurut kenyataan Peguam Negara itu.
Keputusan tersebut diumumkan beberapa hari sebelum satu lagi demonstrasi dijadual berlangsung di Dataran Tahrir, tengah Kaherah, iaitu tempat yang menjadi medan pemberontakan pada Februari lalu.
Aktivis menggesa penduduk keluar beramai-ramai pada Jumaat ini untuk menuntut proses pembaharuan dipercepatkan dan Mubarak serta sekutunya dibicarakan secara terbuka.
“Setiap kali golongan muda mengancam untuk mengadakan protes besar-besaran di Dataran Tahrir, mereka (tentera) akan membuat beberapa konsesi,” kata ahli sains politik, Hassan Nafaa. – Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment