Search This Blog

Thursday, May 12, 2011

Flet jadi 'penthouse' PATI




'OPERASI Sapu’ berjaya menahan 30 orang warga asing di Flet Sentul Utara, Sentul, Kuala Lumpur.
'OPERASI Sapu’ berjaya menahan 30 orang warga asing di Flet Sentul Utara, Sentul, Kuala Lumpur.

Rumah dua bilik diubah suai jadi tujuh diduduki 12 warga asing

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah rumah di tingkat paling atas Flet Sentul Utara, Sentul, di sini dianggap licik apabila sanggup mengubahsuai kediamannya seolah-olah menjadi sebuah 'penthouse' untuk menempatkan 12 warga asing termasuk lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di situ.
Rumah flet berkenaan yang asalnya dua bilik, diubahsuai secara haram menjadi dua tingkat dengan kemudahan tujuh bilik, menjadikan bumbung lebih tinggi berbanding unit lain di tingkat itu.
Tindakan pemilik rumah terbabit ‘menyimpan’ lapan PATI termasuk empat wanita, dibongkar ketika sepasukan anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menyerbu flet berkenaan jam 1 pagi semalam, selepas menerima aduan berhubung kebanjiran warga asing tanpa dokumen perjalanan sah dan tinggal di situ.

Lapan PATI terbabit menyewa di rumah itu sejak lebih setahun lalu dan bekerja di kawasan berhampiran sebagai pembantu rumah dan pekerja restoran.

Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Mohamed Yusof Khan Mohd Hassan berkata, dalam operasi itu, seramai 30 PATI termasuk 15 wanita warga Indonesia, Filipina, Pakistan, India, Nigeria dan Nepal ditahan hasil serbuan ke 20 unit rumah di flet berkenaan.

Katanya, ia dilakukan hasil pemantauan pihaknya sejak beberapa hari lalu berdasarkan aduan penduduk flet itu yang bimbang melihat kemasukan penduduk baru warga asing ke situ setiap hari.
“Kami percaya masih ada warga asing yang bebas, malah terdapat beberapa rumah yang disyaki dihuni warga asing terbabit tetapi ketika pemeriksaan dilakukan, mereka tiada di rumah,” katanya.

Dalam operasi sama juga, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun turut terkejut apabila teman wanitanya yang disangka rakyat tempatan rupa-rupanya wanita warga Indonesia.

Wanita terbabit bersama dua lagi rakannya yang juga warga Indonesia tinggal bersama lelaki itu, ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Lelaki terbabit yang dikatakan tidak dapat menerima kenyataan itu, cuba merayu anggota imigresen supaya teman wanitanya dibebaskan tetapi tidak diendahkan.

Mohamed Yusof berkata, walaupun sudah diserbu, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan ke atas lokasi berkenaan bagi memastikan PATI di kawasan itu dapat dikurangkan.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur juga berharap orang ramai menghubungi pihaknya bagi memberi maklumat jika mereka mengetahui kewujudan PATI di kawasan masing-masing untuk tindakan susulan.

“Semua PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 61 (c) Akta Imigresen kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah, Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa dibenarkan dan Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana menyalahguna pas lawatan sosial.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara atau sebat,” katanya.
bharian

No comments:

Post a Comment