Search This Blog

Sunday, May 8, 2011

Eksport minyak masak tumpas







Nazarrudin Zainudin (kiri) bersama pegawainya menunjukan lori tangki yang membawa minyak bersubsidi yang ditahan sewaktu operasi di sebuah kilang di Bandar Armada Putra, Pelabuhan Klang, semalam.


PELABUHAN KLANG 7 Mei - Cubaan sebuah kilang pemprosesan dan menapis minyak untuk mengeksport 41.8 metrik tan minyak masak bersubsidi ke luar negara bernilai RM71,060 gagal apabila ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, di sini hari ini.
Serbuan dilakukan pada pukul 11 pagi di kilang berkenaan yang terletak di Bandar Armada Putra, di sini.
Menurut Penolong Pengawal KPDNKK Bekalan Putrajaya, Nazarrudin Zainudin, pihaknya turut menahan masing-masing seorang pemandu lori, penyelia kilang dan pekerja ketika sedang sibuk memindahkan barangan kawalan tersebut.
Katanya, mereka ditahan untuk membantu siasatan kegiatan yang dipercayai dilakukan sejak Disember tahun lalu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan juga mendapati 70 peratus minyak dalam tangki telah dipindahkan ke tangki besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nazarrudin menambah, tangkapan itu merupakan yang terbesar bagi tahun ini kerana mengikut harga pasaran nilainya berjumlah RM146,300.
"Minyak masak yang telah disubsidi berharga RM1,700 per metrik tan, manakala harga pasarannya adalah RM3,500 per metrik tan.
"Walaupun syarikat itu memperoleh lesen sah daripada MPOB untuk menjual minyak masak ke luar negara, namun mereka tidak layak untuk membeli minyak masak bersubsidi bagi tujuan mengeksport kerana belian perlu dibuat mengikut harga semasa," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 bagi syarikat, manakala persendirian, denda tidak lebih RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
"Lori tangki minyak akan diserahkan kepada MPOB, manakala minyak yang dirampas diberi kepada KPDNKK Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.

No comments:

Post a Comment