Search This Blog

Thursday, May 5, 2011

Dua beranak ditipu RM10,000



KUALA TERENG-GANU- Dua beranak terpaksa berputih mata setelah kerugian hampir RM10,000 kerana ditipu gara-gara terpedaya dengan janji manis seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal.

Kejadian berlaku pada 27 April lalu, ketika mangsa, 29, seorang suri rumah yang tinggal bersama ibu mentuanya di kampung Masjid Haji Said, Marang telah didatangi suspek kira-kira jam 12.30 tengah hari di kediaman mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Azmi Adam berkata, suspek yang datang bersendirian telah memasang perangkap dengan meminta mangsa menyerahkan botol minyak masak kosong untuk digantikan kepada sebotol minyak masak berjenama secara percuma.

“Setelah mendengar tawaran suspek, mangsa yang tidak mensyaki apa-apa terus menyerahkan botol-botol minyak masak yang sudah digunakan dan suspek telah ‘menghadiahkan’ sebotol minyak masak berjenama seperti dijanjikan.

“Selepas pertukaran sistem barter itu, suspek mula menukar taktik penipuan dengan menawarkan cabutan bertuah kepada mangsa dengan alasan sebagai tanda penghargaan kerana mangsa menggunakan produk minyak masak berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Azmi berkata, tanpa banyak soal, mangsa terus membuat cabutan bertuah yang ditawarkan itu dan didapati telah memenangi sebuah peti sejuk angga-ran berharga RM2,000.

“Namun, mangsa menolak hadiah berkenaan dengan alasan sudah memiliki peti sejuk di rumah itu.

“Suspek yang tidak berputus asa, sekali lagi menawarkan satu cabu-tan bertuah yang lain kepada mangsa dan untuk cabutan kali kedua itu, mangsa didapati telah memenangi sebuah motosikal,” katanya.

Katanya, teruja dengan hadiah yang dimenangi itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus menyerahkan barang kemas yang dipakai olehnya dan ibu mentuanya itu setelah diminta oleh suspek kononnya untuk mencatat nombor siri yang tertera pada barang kemas berkenaan sebagai syarat untuk menebus hadiah tersebut.

“Setelah menyerahkan gelang dan rantai yang bernilai kira-kira RM10,000, suspek meminta izin untuk ke stesen minyak Petronas Marang dengan alasan urusan mencatatkan nombor siri hendak dibuat di dalam kontena yang sememangnya dibuka di stesen minyak itu dan berjanji akan kembali hanya dalam beberapa minit sahaja.

“Selepas beberapa minit berlalu, mangsa merasakan ada yang tidak kena kerana bayang suspek tidak muncul-muncul menyebabkan mangsa bersama ibu mentuanya mengambil keputu-san untuk mencari suspek di stesen minyak berkenaan,” katanya.

Namun, kata Azmi, mangsa hampa setelah mendapati suspek tiada di lokasi yang dimaklumkan itu malah kontena yang kononnya dibuka di stesen minyak itu langsung tidak wujud.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Marang pada hari sama iaitu kira-kira jam 1 tengah hari dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Azmi menasihatkan kepada orang ramai agar jangan sesekali mudah percaya dengan tawaran hadiah cabutan bertuah seperti itu.

Pada masa sama, Azmi turut mengingatkan kepada orang ramai yang didatangi individu mencurigakan dengan menawarkan hadiah menggunakan taktik sedemikian menghubungi balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment