Search This Blog

Saturday, May 21, 2011

Ditipu pemilik kilang muflis




BANDA HILIR - Hasrat sepasang suami isteri ingin membesarkan syarikat kejuruteraan mereka bukan sahaja tidak tercapai, malah mereka kini menanggung kerugian RM40,000.

Ini berikutan pemilik bangunan yang ingin mereka beli sebenarnya sudah diisytiharkan muflis.

Walaupun sudah berulang kali mereka cuba mendapatkan kembali wang berkenaan, namun pemilik bangunan kilang itu sering melarikan diri dengan menggunakan pengisytiharan muflis berkenaan sebagai alasan.

Mangsa, B. Vijaya Mala, 30, berkata, dia dan suami terpaksa kecewa dengan tindakan pemilik menjual bangunan berkenaan walaupun tahu beliau berhadapan tindakan muflis.

Menurutnya, sepanjang transaksi dengan pemilik, dia tidak sekali pun memaklumkan kepadanya atau suami mengenai tindakan mahkamah ke atasnya, malah tetap mahu meneruskan cadangan menjual bangunan kilang satu tingkat di Taman Merdeka Jaya itu.

“:Kami percaya dia memang mempunyai niat untuk menipu kami. Kami sudah cuba berbincang apabila mengetahui dia muflis, tetapi dia mengatakan dia tidak akan bertanggungjawab dan tidak mahu mengambil tahu mengenai hal berkenaan,” katanya kepada :Sinar Harian: selepas membawa kes berkenaan ke perhatian Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee, semalam.

Berikutan itu, suami Vijaya Mala, P. Jeganathan, 33, membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah, di sini.

Vijaya Mala berkata, dia dan suami bersetuju membeli bangunan kilang itu Oktober, tahun apabila mendapat tahu pemilik ingin menjualnya.

Menurutnya, bayaran pendahuluan RM40,000 daripada harga bangunan sebanyak RM240,000 sudah dibayar kepada pemilik.

“Bagaimanapun, selepas pembayaran, baru kami tahu pemilik sebenarnya muflis. Cubaan kami mendapatkan kembali wang gagal,” katanya.

Sementara itu, Kim Tee menasihatkan pasangan berkenaan membuat laporan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Menurutnya, berikutan laporan polis yang dibuat, pasangan itu turut dimaklumkan bahawa polis tidak boleh mengambil sebarang tindakan memandangkan pemilik sudah diisytiharkan muflis.

“Langkah terbaik sekarang adalah bagi kedua mereka membuat laporan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment