Search This Blog

Thursday, May 26, 2011

Cuping telinga bayi lebam




TEMERLOH – Seorang bapa mendakwa bayi lelakinya berusia 11 bulan yang dihantar ke rumah seorang pengasuh di sini didera hingga lebam pada cuping telinga dipercayai ‘dipulas’.

Bapa bayi itu, yang mahu dikenali sebagai Azhar, pemilik bengkel di sini mendakwa, walaupun dia tidak mempunyai bukti kukuh tetapi pegawai perubatan mengesahkan terdapat lebam di telinga dipercayai akibat didera.

Menurutnya, kejadian disedari Isnin lalu apabila, isterinya terlihat kesan lebam pada telinga kiri anaknya, ketika memandikannya.

“Saya mengesyaki sesuatu berlaku pada anak saya kerana dia menangis sepanjang hari, saya kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan di Mentakab untuk pemeriksaan.

“Doktor mengesahkan ada kesan lebam pada telinga dan mengeluarkan satu laporan perubatan mengatakan kemungkinan berlaku penderaan.

“Laporan tersebut diberikan kepada saya untuk rujukan polis sekiranya saya berhasrat melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya di sebuah taman perumahan, di sini, semalam.

Azhar berkata, sebaik mengetahui kejadian, dia kemudian pergi ke rumah pengasuh terbabit untuk mendapatkan penjelasan namun tidak dilayan.

Menurutnya, tindakan pengasuh terbabit yang enggan berbincang menyebabkan dia semakin mengesyaki memang ada berlaku penderaan.

Dia berkata, sepanjang sebulan lalu menghantar anaknya ke rumah pengasuh terbabit, adik iparnya kerap menjenguk anaknya dan sering kali juga adik iparnya mendengar pengasuh terbabit memarahi anaknya.

Azhar yang mempunyai dua cahaya mata kini tidak lagi menghantar anak bongsunya ke rumah pengasuh terbabit sebaliknya meminta bantuan emak untuk menjaga anaknya.

“Ikutkan hati memang saya marah dan kecewa dengan tindakan pengasuh terbabit, saya sudah pelawa dia berbincang tetapi tidak dilayan.

“Kalau ikutkan memang saya nak buat laporan polis tetapi mengenangkan dia juga mempunyai anak kecil, saya batalkan niat saya,” katanya.

Azhar menasihati ibu bapa supaya berhati-hati dan memilih pengasuh yang lebih dikenali supaya kejadian dera yang dialami anaknya tidak berlaku pada orang lain.
SH

No comments:

Post a Comment