Search This Blog

Saturday, May 7, 2011

Bangunan sekolah dipecah masuk



SKUDAI – Bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Thorburn, Taman Mutiara Rini, di sini, dipecah masuk awal pagi semalam.

Guru sekolah berkenaan, Tan Tzer Lee berkata, dia menyedari kejadian itu sebaik sahaja tiba di sekolah sekitar jam 6.30 pagi apabila mendapati pagar (grill) besi dan pintu pejabat pentadbiran dalam keadaan terbuka.

“Pelik dengan keadaan yang berlaku, saya masuk ke dalam pejabat seterusnya mendapati keadaan pejabat berselerak, sekali gus mengesyaki bangunan sekolah dipecah masuk.

“Saya kemudiannya bertanya kepada kerani yang sudah lama bertugas di sekolah ini sama ada terdapat barang hilang dengan membuat pemeriksaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Taman Mutiara Rini sekitar jam 9 pagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Dalam kejadian itu, sebanyak dua buah komputer riba dan projektor sekolah pemberian kerajaan bagi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) hilang malah ia merupakan pecah masuk kali kedua selepas bulan Februari lalu.

“Tiada sebarang kehilangan harta benda untuk kejadian pecah masuk kali pertama tiga bulan lalu dan pihak sekolah tidak membuat laporan polis pada ketika itu.

“Pengawal keselamatan bertugas mengakui menyedari pintu pejabat pentadbiran terbuka sekitar jam 2 pagi ketika membuat rondaan, namun tidak dapat membuat panggilan kepada pihak pengurusan kerana ketiadaan kredit telefon bimbit,” katanya.

Siasatan dijalankan pihak sekolah turut mendapati bilik rehat guru turut dipecah masuk diikuti penemuan cap jari suspek selain menemui lubang pada pagar di kawasan belakang yang dipotong dipercayai menggunakan pemotong.

Turut hadir meninjau keadaan sekolah itu adalah Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh sekitar jam 9.30 pagi.

No comments:

Post a Comment