Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

60 pekerja terselamat dalam kebakaran



PEKERJA-pekerja menyaksikan kilang tempat mereka bekerja terbakar dijilat api dalam kejadian di Taman Cheras Mas, Kajang semalam.


KAJANG 9 Mei - Sekumpulan 60 pekerja sebuah kilang membuat model bangunan dan rumah sempat menyelamatkan diri selepas premis itu terbakar di Persiaran Perindustrian Taman Cheras Mas, Kajang, dekat sini hari ini.
Kebakaran pada pukul 3 petang yang dipercayai berpunca daripada bahagian tengah rumah kedai tersebut disedari kumpulan pekerja berkenaan.
Pengurus projek syarikat itu yang mahu dikenali sebagai Chew berkata, pekerja cuba memadam api tersebut yang dikatakan berpunca daripada litar pintas namun api marak terlalu pantas.
"Bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini melibatkan kakitangan, kesemua 60 pekerja diminta keluar daripada kilang.
"Selepas semua keluar, api bertambah marak kerana terdapat banyak kepingan kotak yang digunakan untuk membuat model rumah dan bangunan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ahmad Syauqi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.05 petang sebelum tiba kira-kira 10 minit kemudian.
"Dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Bangi dan Pandan Indah, api yang marak itu dapat dikawal selepas 20 minit. Namun siasatan awal mendapati, premis dua tingkat itu hangus hampir 100 peratus," jelasnya.
Menurutnya, punca kejadian tersebut akan diketahui selepas pasukan forensik melakukan siasatan terperinci.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran berkenaan.

No comments:

Post a Comment