Search This Blog

Sunday, May 8, 2011

3 tentera maut, gadis parah


SEREMBAN: Tiga anggota tentera maut dan seorang gadis parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan lori tangki minyak di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Kampung Bemban, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian jam 3.45 pagi itu menyebabkan Zulhelmi Ismail, 24, dari Gurun, Kedah, Izzat Badry Badaruddin, 22, dari Klang, Selangor dan Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, dari Pulau Pinang maut akibat cedera parah di kepala dan badan.

Zulhelmi yang juga pemandu kenderaan dan Muhammad Afdhaluddin maut di tempat kejadian manakala Izzat Badry meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Seorang lagi penumpang yang juga pelajar Politeknik Port Dickson dikenali sebagai Nik Norhashimah Abu Kassim, 19, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.

Difahamkan, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Institut Kejuruteraan Elektrik Tentera Darat (IJED) di Port Dickson dari sini menaiki Proton Wira.

Jurucakap polis berkata, Zulhelmi dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain apabila dia hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tangki minyak 18,000 liter.


Katanya, dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mati ketika mendapatkan rawatan di hospital. Semua mangsa dihantar ke HTJS untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan membuat laporan polis mengenai kemalangan itu dan sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan orang ramai yang melihat kejadian boleh menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan bomba dan penyelamat berkata, lima anggota dari Balai Bomba Seremban 2 sampai ke lokasi kejadian jam 4 pagi.

No comments:

Post a Comment