Search This Blog

Monday, May 30, 2011

25 nelayan Vietnam ditahan




PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot serta 25 nelayan Vietnam, dan hasil tangkapan berjumlah 3000 kilogram berbagai spesies ikan dalam satu operasi ‘Ops Perkasa Timur 30/11’ kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin di perairan Tok Bali, di sini.

Ketua Penguatkuasaan Maritim Daerah, Komander Maritim Zainin Abdul Majid berkata, bot tersebut ditahan ketika sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan.

“Setelah diamati dua bot itu tidak mempunyai nombor pendaftaran khusus sebagai bot nelayan tempatan serta tidak mengibarkan bendera Malaysia.

“Bot berwarna biru berjalur biru tua bernombor pendaftaran KG 90619 TS dan KG 90604 TS ditahan pada di posisi lebih kurang 111 Batu Nautika Timur Laut Tok Bali,’’ katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Memerintah KM Amanah, Leftenan Azizan Ahmad bersama 17 anggota.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, didapati awak-awak bot tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan anggota menggeledah menggunakan bahasa isyarat kerana sukar berkomunikasi dalam bahasa Vietnam.

Zainin berkata, awak-awak yang ditahan berusia di antara 16 hingga 39 tahun dan bot mereka dibawa ke Jeti APMM Tok Bali untuk siasatan dan pendakwaan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dijatuhkan hukuman di bawah Akta Perikanan 1985 di bawah Sesksyen 15(1)(a) dan jika disabit kesalahan boleh didenda Maksima RM 1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM500,000.00 atau lima bulan penjara bagi awak-awak atau kedua-duanya sekali.

“Semua awak-awak dan tekong yang ditahan akan dihantar untuk tahanan sementara ke Lokap Balai Polis Kamachang sebelum proses siasatan dan pendakwaan dalam masa yang terdekat,’’ katanya.

Zainin berkata, pencerobohan bot nelayan asing masih berlaku di perairan Zon Maritim Malaysia walaupun sepanjang tahun ini pihak APMM Tok Bali telah membuat sebanyak 20 tangkapan ke atas bot nelayan asing dari negara Vietnam mahupun Thailand.

Beliau berkata, bagaimanapun tangkapan yang dibuat oleh KM Amanah itu merupakan aktiviti tunda berkembar yang dilakukan oleh nelayan asing di mana ia adalah diharamkan.

“Ini memandangkan aktiviti tersebut boleh memusnahkan hasil sumber ikan. Kami juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan pelantar minyak yang turut melaporkan tentang pencerobohan bot-bot nelayan asing ke perairan zon maritim negara,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment