Search This Blog

Wednesday, April 13, 2011

Tiga bilik sekolah terbakar

KANGAR 12 April - Tiga buah bilik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, di sini rosak dalam kejadian kebakaran yang berlaku hari ini.
Kejadian berlaku sewaktu 120 pelajar sedang belajar bersebelahan dengan bilik yang terbakar itu pada pukul 1.50 petang.
Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik stor sebelum ia merebak ke dua bilik lagi di tingkat satu sebuah blok sekolah yang menempatkan empat kelas untuk pelajar Tingkatan Tiga.
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Nuzrin Nuiman berkata, stor yang terbakar itu dijadikan tempat penyimpanan peralatan sukan manakala dua lagi bilik digunakan untuk pengurusan sukan.
"Pelajar ternampak kepulan asap pada siling kelas mereka disebabkan kebakaran di bilik bersebelahan dan mereka memaklumkan kepada guru," katanya.
Berikutan itu, katanya, kesemua pelajar di tingkat satu sekolah tersebut diarahkan mengosongkan kelas masing-masing dan tiada kemalangan dilaporkan.
Nuzrin menjelaskan, hampir kesemua peralatan sukan seperti baju dan jersi sukan, kayu hoki dan barangan bantuan banjir yang disimpan di stor tersebut hangus manakala dua bilik pengurusan sukan itu mengalami kebakaran pada bahagian syiling.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Fadzil Haroon memberitahu, anggotanya dapat mengawal kebakaran di tiga buah bilik tersebut dalam tempoh 15 minit.
Katanya, punca kebakaran masih disiasat dan nilai kerugian belum diketahui.

No comments:

Post a Comment