Search This Blog

Saturday, April 23, 2011

Tembak bukan untuk bunuh


SEREMBAN: Dendam dipercayai motif dua penjenayah bermotosikal bertindak nekad menembak dua lelaki dari jarak dekat hingga parah dalam serangan ala gangster di Taman Seremban Jaya, di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, serang hendap bermula kira-kira jam 9 malam itu dilakukan suspek di dua lokasi berasingan masing-masing di depan sebuah kedai dan rumah yang jaraknya kira-kira 200 meter.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal terlebih dulu berhenti di depan kedai telefon milik seorang daripada mangsa berusia 30-an.

“Seorang suspek iaitu pembonceng motosikal turun dan menghampiri lelaki berkenaan lalu melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai perut dan belakang badan mangsa.

“Kedua-dua penjenayah memakai topi keledar berpenutup penuh itu seterusnya pergi ke sebuah rumah berdekatan dan menembak seorang lagi iaitu pemandu lori berusia 40-an yang ketika itu berada di keretanya.

“Tembakan mengenai beberapa bahagian badan termasuk punggung dan kaki mangsa. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan,” katanya di sini, semalam.


Menurut Osman, kedua-dua mangsa masing-masing terkena lima dan dua das tembakan manakala suspek meloloskan diri.

“Mangsa sudah selamat menjalani pembedahan membuang peluru dan setakat ini keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang ditembak itu tiada sebarang perhubungan dan pihaknya berusaha mengenal pasti motif serangan.

“Berdasarkan corak serangan kami tidak menolak kemungkinan ia berpunca akibat dendam, kongsi gelap atau pembunuh upahan. Selain itu, suspek mungkin hanya mahu mencederakan mangsa kerana peluru tidak terkena organ penting walaupun banyak tembakan dilepaskan dari jarak dekat.

“Kami belum mengambil keterangan mangsa berikutan keadaan mereka yang lemah selepas pembedahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment