Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Suspek sambung reman




IPOH – Seorang suspek yang ditembak polis pada 29 Mac lalu berhubung kes dadah disambung reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Permohonan reman dibuat oleh Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Inspektor Mohd Faiz Mohd Suid di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

Suspek yang berusia 34 tahun itu pula diwakili tiga peguam iaitu M Kula Segaran, Augustine Anthony dan N Selvam.

Hadir sama di mahkamah, kakak suspek, K Santhana Kumari, 38, dan isteri suspek A Bama, 30.

Sementara itu, Kula Segaran dalam sidang media selepas itu memberitahu bahawa beliau telah meminta pihak mahkamah supaya membawa suspek ke hospital untuk menjalani pemeriksaan ke atas kecederaan di siku kiri dan tapak tangan kanan akibat tembakan yang dilepaskan.

Beliau berkata, Mohd Fitri kemudiannya membenarkan permohonan itu dan meminta suspek menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Menurutnya, pada 29 Mac jam 2.15 petang, suspek yang menggunakan kereta kakaknya cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya ketika melalui Jalan Tun Abdul Razak.

Katanya, akibat cubaan itu dua anggota polis yang menaiki motosikal mengejar suspek dan suspek kemudiannya ditembak di bahagian tangan.

Sementara itu, kakak suspek, Santhana Kumari berkata, keluarganya sedikit kecewa dengan pihak polis kerana didakwa tidak memaklumkan penahanan suspek.

Beliau berkata, peguam yang mewakili adiknya itu akan membawa perkara itu ke Parlimen dan satu surat akan dihantar kepada Ketua Polis Negara bagi meminta penjelasan terhadap tindakan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang dihubungi menafikan bahawa keluarga tidak dimaklumkan mengenai penahanan suspek.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, ada ahli keluarga yang hadir di tempat kejadian dan sedia maklum dengan kejadian itu.

“Sebagai rakyat, kita perlu tahu hak kita dan boleh minta peguam. Kedua-dua pihak (polis dan suspek) mempunyai hak masing-masing,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment