Search This Blog

Sunday, April 10, 2011

Suami isteri maut dalam kemalangan

IPOH — Sepasang suami isteri terbunuh selepas treler yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi treler di Km 257 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar semalam.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 6 petang itu ialah pemandu treler Mat Nazri Idris, 47, berasal dari Kedah dan isterinya Nor Suzaimi Othman, 25 berasal dari Kelantan.
Ketua Polis Trafik Perak, Supt. Wan Abdullah Ishak berkata hari ini, kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.
Wan Abdullah berkata kejadian berlaku ketika treler yang dipandu Mat Nazri membawa muatan tiang lampu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth yang gagal dikawal merempuh bahagian belakang treler membawa muatan besi buruk di hadapannya ketika kedua-duanya menuruni bukit.
Akibat rempuhan itu bahagian depan treler mangsa remuk teruk dan kedua-duanya tersepit dalam kenderaan tersebut, manakala pemandu treler di hadapan tidak mengalami kecederaan dan melaporkan kejadian itu kepada polis, katanya.
Beliau berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum dihantar ke hospital. — Bernama
Kosmo! Online - Terkini

No comments:

Post a Comment