Search This Blog

Saturday, April 23, 2011

Suami isteri edar pil kuda, dadah kena cekup





2011/04/23

CHUKAI: Polis Terengganu menahan sepasang suami isteri dan merampas 1,000 biji pil kuda bernilai RM20,000 serta 10 botol dadah jenis heroin bernilai RM10,000 dalam satu serbuan pada malam 17 April lalu, di Kampung Durian Kasim, Ajil, Hulu Terengganu. 

Lelaki berumur 33 tahun berasal dari Rantau Panjang, Kelantan dan isterinya, 24, dari Kampung Raja, Besut dikatakan tinggal di Kampung Alur Lintang, Besut dan dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah sejak lebih dua tahun lalu di sekitar daerah Marang, Hulu Terengganu dan Besut.
Polis percaya dengan penahan pasangan itu juga ia akan dapat membantu kes kematian seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Nor Shazwina Alia berusia dua tahun yang dipercayai didera pada 2008.
Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustafa, berkata pasangan itu berjaya ditahan selepas pihaknya mendapat maklumat orang awam yang kemudian melakukan serbuan ke atas sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki pasangan itu ketika berhenti di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan kira-kira jam 11.30 malam. 

Katanya, ketika itu kedua-dua suspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota polis, namun berjaya ditahan. 

“Apabila pemeriksaan dijalankan, polis menemui 1,000 biji pil kuda jenis YABA dan 10 botol dadah dipercayai heroin, kira-kira 50.4 gram yang disorok di bawah tempat duduk pemandu kereta berkenaan. 

"Polis juga percaya sebelum pasangan terbabit ditahan, kedua-dua mereka sedang menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah Hulu Terengganu pada malam itu dan mereka juga disyaki penagih apabila ujian air kencing didapati positif kesan dadah jenis metapetamine dan morfin,” katanya. 
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Pencegahan Jenayah – Reaching Out Walk About bersama masyarakat daerah Kemaman di tapak Pasar Tani di sini, semalam. 

Jamshah yang menyertai konvoi bermotosikal polis trafik bersama lebih 20 anggota serta pegawai tiba di daerah ini sejak kelmarin dan turut melawat sekitar tapak pasar tani dan pasar malam sekitar bandar ini serta beberapa lokasi terpilih untuk bertemu dengan penduduk. 

Mengenai kes kematian Nor Shazwina Alia, Jamshah berkata wanita terbabit juga dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes dera serta kematian kanak-kanak itu yang juga dikatakan anak angkat pasangan berkenaan, pada 22 September 2008. 

No comments:

Post a Comment