Search This Blog

Tuesday, April 12, 2011

Sindiket tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang dengan menahan enam lelaki berusia antara 30 hingga 40-an selain merampas pelbagai komponen kenderaan dianggarkan RM5 juta.
Kumpulan sindiket dipercayai mempunyai rangkaian seluruh negara dan bergiat aktif sejak 2009 itu dikatakan menyasarkan kenderaan yang baru ditinggalkan di sesuatu kawasan tumpuan seperti pusat membeli-belah sebelum melarikannya.

Difahamkan, ahli kumpulan terbabit memerlukan kurang lima minit untuk melarikan sebuah kereta. Antara kenderaan yang menjadi pilihan mereka adalah Proton Waja, Proton Wira Aeroback, Proton Iswara dan lori jenis Hicom.

Sebaik berjaya melarikan kenderaan itu, ahli sindiket terbabit meleraikan komponen di sebuah stor di ibu kota sebelum menyerahkan kepada seorang individu yang diamanahkan membawa barangan curi berkenaan ke Melaka dan Johor bagi proses penjualan.

Dalam serbuan berasingan pada 8 dan 9 Mac lalu di beberapa bengkel, stor dan rumah di Batu Berendam dan Durian Tunggal, Melaka serta Skudai, Johor, polis merampas 1,603 komponen kenderaan termasuk enjin yang sudah dileraikan ahli kumpulan terbabit selain menahan enam individu termasuk pemilik bengkel berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, polis percaya pihaknya menyelesaikan 250 kes curi kenderaan yang dilaporkan sepanjang beberapa tahun lalu.

“Malah, semakan dilakukan selepas kejayaan ini menunjukkan 81 kes konsisten dengan laporan kehilangan yang dibuat sekitar Lembah Klang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Menceritakan semula modus operandi kumpulan sindiket ini, Bakri berkata, kumpulan yang menyasarkan kenderaan nasional kerana permintaan alat ganti tinggi dalam pasaran itu memeriksa suhu enjin sebelum melarikan kereta berkenaan.
“Ini kerana, kumpulan itu percaya sekiranya suhu enjin masih panas pemilik kenderaan itu tidak akan kembali ke keretanya dalam kadar segera. Malah, mereka (ahli sindiket) mengambil masa selama lima minit menghidupkan kenderaan itu sebelum melarikannya,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 8 pagi pada 8 Mac lalu, diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner, Mohd Adnan Abdullah di Batu Berendam dan Durian Tunggal, Melaka, pihaknya menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an selepas menyerbu sebuah rumah dan menemui tiga stor penyimpanan komponen kenderaan dileraikan.

Bakri berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas enam kereta dicuri sekitar Lembah Klang dan sebuah lori dilarikan di Johor.

“Hasil siasatan susulan membawa kepada satu lagi serbuan di lima lokasi berasingan, sebuah stor, dua rumah, dan dua kedai alat ganti kenderaan keesokan harinya (9 Mac) di Skudai, Johor. Dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun.

“Mereka direman beberapa hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

No comments:

Post a Comment