Search This Blog

Tuesday, April 19, 2011

Sebelas hari di ‘neraka’


BUKIT MERTAJAM: “Sepanjang 11 hari dikurung, saya tak diberi makan, tak dibenarkan ke bilik air dan hanya terfikir mati kerana sering diugut untuk ditikam jika cuba melepaskan diri,” kata Nor Sahanita Rahmat, 15, menceritakan pengalaman ngerinya apabila diculik dan dikurung di sebuah rumah di Lunas, Kulim.
Remaja itu dilaporkan hilang pada 4 April lalu dipercayai membonceng motosikal bersama seorang lelaki berhampiran kawasan rumahnya di Kampung Bukit Kechil, Juru, dekat sini.

Bagaimanapun, katanya, dia sebenarnya diugut oleh kenalan kepada rakan perempuannya supaya mengikut mereka ke tempat yang dirahsiakan.

Nor Sahanita berkata, pada hari kejadian, dia diajak rakannya untuk berjumpa, tetapi apabila tiba di tempat dijanjikan, terdapat seorang remaja lelaki dan perempuan menunggang motosikal lain ada bersama rakannya itu.

“Remaja perempuan yang berusia belasan tahun itu minta saya dan rakan mengikutnya dan jika kami enggan, dia mengugut mahu menikam kami dengan pisau yang dibawa dan kerana takut kami berdua hanya mampu mengikut arahannya.

“Mereka membawa kami ke sebuah rumah kosong yang terletak di ladang kelapa sawit di Lunas, Kulim, tanpa mengetahui tujuan sebenar dibawa ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sejak itu, Nor Sahanita dikurung di dalam sebuah bilik kosong dalam rumah berkenaan dengan tangan diikat, manakala rakannya diikat mulut dan diletakkan di ruang tamu rumah.

Katanya, sepanjang dikurung, kira-kira tujuh remaja lelaki dan perempuan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat menghisap dadah.
“Hampir setiap masa di depan mata saya mereka menghisap dadah dan perasaan takut menghantui diri jika mereka yang dalam keadaan khayal itu menyuntik dadah ke badan saya atau melakukan sesuatu.

“Saya turut dibawa ke Selama dan Taiping, Perak dengan motosikal untuk membeli dadah walaupun keadaan saya sangat lemah ketika itu kerana tak diberi makan langsung,” katanya.

Menurut Nor Sahanita, nasibnya baik kerana abang kepada seorang ahli kumpulan berkenaan datang pada Jumaat malam untuk berjumpa adiknya dan dia mengambil kesempatan itu menjerit meminta tolong.

Dia kemudian dibawa ke rumah lelaki terbabit untuk diberi makan sebelum dihantar pulang kira-kira jam 4 petang kelmarin (Ahad), tetapi hanya ditinggalkan di Plaza Tol Juru tanpa diketahui sebabnya.

Kejadian itu menyebabkan Nor Sahanita trauma dan takut untuk keluar seorang diri, malah dia akan minta ahli keluarga menemaninya jika mahu keluar rumah bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, bapanya, Rahmat Eussoff, 47, berkata dia menerima panggilan telefon daripada kakitangan peronda Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) yang memberitahu Nor Sahanita ada di Plaza Tol Juru.

No comments:

Post a Comment