Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Sebak dibebas


AMPANG: Seorang ibu tunggal tiga anak dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam daripada tiga tuduhan memiliki dadah, tahun lalu.
Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu terhadap Kasmah Yaacob@Suppiah, 47, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Kasmah yang kelihatan sebak dilihat memeluk ahli keluarganya. Sebelum ini, Kasmah didakwa bersama anggota polis, Asraf Rushdi Kamarudin, 29, dan juruteknik, Chan Chee Leong, 38 atas tuduhan memiliki 90 gram ganja, 0.13 nimetazapam dan 10.6 gram methamphetamine. Kesalahan dilakukan di bilik utama sebuah flat di Pangsapuri Mega Indah, Taman Mega Indah, di sini, pada jam 3.45 petang, 20 April 2010. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta itu yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau maksimum seumur hidup, dengan sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pada 23 Februari lalu, Asraf dan Chan dilepas dan dibebaskan mahkamah terhadap pertuduhan sama di akhir kes pendakwaan manakala Kasmah diperintah membela diri.

Roszianayati dalam penghakimannya berkata, dakwaan bahawa tertuduh hanya tetamu di rumah yang mempunyai dadah terbabit berjaya menimbulkan keraguan munasabah. Katanya, keterangan itu turut disokong pegawai serbuan yang bersetuju bahawa wang tunai RM7,000 yang dirampas daripada beg tangan Kasmah terletak di ruang tamu rumah menimbulkan inferens yang munasabah bahawa Kasmah adalah tetamu di unit itu dan bukan penghuni.


Mahkamah juga menerima keterangan anak perempuan Kasmah bahawa dia menghantar ibunya ke rumah terbabit untuk mengambil beberapa dokumen. Roszianayati juga berpendapat, polis yang terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke dalam rumah menunjukkan Kasmah dikunci daripada luar oleh seseorang.

Kasmah diwakili peguam bela Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala pihak pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abdul Zawawi.
myMetro | Sebak dibebas

No comments:

Post a Comment