Search This Blog

Saturday, April 30, 2011

Samun warga asing



KAMPUNG ISTANA – April tahun ini adalah igauan ngeri bagi penduduk sekitar Batu Pahat kerana ia mencatatkan kes samun tertinggi sepanjang 2011 melibatkan warga asing terutamanya Indonesia.

Walaupun mencatatkan kes tertinggi iaitu enam kes, kegiatan samun yang bergiat aktif di kawasan pinggir hutan dan bukit ini tetap menunjukkan penurunan sebanyak 57 peratus berbanding tahun lalu sehingga 24 April, tempoh sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, bagi mengatasi kes samun berkenaan terus berleluasa sebanyak lebih 400 pegawai dan juga anggota polis ditugaskan berterusan selama 24 jam bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, pelbagai unit dan juga bahagian telah terlibat dalam operasi khas ini termasuklah Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sungai Besi, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta bantuan daripada anggota polis daerah lain .

“Sehingga ke hari ini (semalam) pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sentiasa bersedia dan berjaga-jaga termasuk membuat 15 sekatan jalan raya di hampir semua jalan keluar masuk daerah ini.

“Kita tidak dapat menjangkakan bila kes samun ini berlaku tetapi langkah pencegahan adalah lebih baik, selain dengan kehadiran polis ia akan mengurangkan rasa ketakutan di kalangan penduduk,” katanya pada Taklimat Pencegahan Jenayah bersama Penduduk Kampung Istana, semalam.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat, Deputi Superintenden Che Mahazan Che Aik dan Ketua Kampung Istana, Razak Rahman.

Adnan berkata, dalam kes kali ini suspek menumpukan untuk menyamun barangan seperti komputer, komputer riba, kamera dan telefon bimbit selain wang tunai serta barang kemas.

Beliau berkata, rumah yang menjadi sasaran utama ialah rumah mereka yang terdiri daripada golongan sederhana di mana agak mudah untuk dipecah masuk berbanding dengan golongan elit yang mempunyai peralatan keselamatan.

“Langkah yang perlu dilakukan ialah jangan menutup lampu semasa tidur, pasang gril pintu dan tingkap dengan sempurna dan jika berkemampuan pasang penggera terutamanya rumah yang berisiko tinggi.

“Alternatif lain, orang ramai digalakkan membawa tidur bersama telefon bimbit yang disimpan talian hotline IPD Batu Pahat iaitu 074343999 dan membawa tidur kunci kereta yang mempunyai penggera serta membunyikannya apabila berasa curiga dengan keadaan di luar rumah,” katanya.

Adnan berkata, sebagai langkah lain yang boleh dilakukan penduduk untuk membantu polis membanteras kes samun warga asing ini ialah dengan menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Beliau berkata, langkah terkini polis IPD Batu Pahat ialah mengedarkan Kad Nama Sektor yang mengandungi nama, nombor telefon bimbit anggota sektor, hotline IPD Batu Pahat dan nombor telefon balai berhampiran bagi memudahkan orang ramai.

No comments:

Post a Comment