Search This Blog

Tuesday, April 12, 2011

Rumah PPRT dilanda banjir kilat

KAMPUNG GAUNG - Kegembiraan seorang penerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Khazimie Abdullah, 44, tidak bertahan lama apabila rumah belakang masjid Kampung Gaung yang diperoleh itu sentiasa berdepan masalah banjir kilat setiap kali hujan.

Khazimie berkata, masalah itu bukan asing baginya kerana setiap kali hujan lebat, kawasan itu akan ditenggelami air berikutan sistem perpari-tan tidak sistematik selain kawasannya juga rendah.

“Sebelum ini saya menumpang di rumah ibu tidak jauh dari sini.

“Saya mula mendiami rumah PPRT ini sekitar 2008 lalu dan gembira dengan sumbangan kerajaan ini,” katanya.

Khazimie berkata, dia tidak menyangka kegembiraan itu tidak lama berikutan terpaksa menghadapi masalah banjir kilat.

“Bayangkan, jika hujan lebat tidak berhenti beberapa jam, kawasan rumah saya akan digenangi limpahan air dari longkang kerana saiznya agak kecil selain aliran air tidak lancar kerana tersumbat.

“Pagi tadi (kelmarin) paras air hadapan rumah saya sedalam kira-kira 0.5 meter sehingga memaksa saya meletakkan motosikal di hadapan pintu utama rumah, malah air juga sudah memasuki bahagian dapur rumah,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menghadapi situasi itu setiap kali hujan lebat berpanjangan kerana longkang tidak sistematik.

“Bagi saya jika saiz dan kedalaman longkang sama sebagaimana longkang di kawasan kubur di sini, masalah ini akan dapat diatasi,” katanya.

Menurutnya, kejadian banjir kilat itu pernah disuarakan kepada pihak berkenaan tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil.

“Kejadian banjir kilat sebegini sebenarnya lebih serius sebelum pembinaan longkang konkrit dilakukan di sini kira-kira tiga tahun lalu bagi menggantikan parit, namun tidak sangka ia masih berterusan sehingga kini biarpun keadaannya tidak serius sebagaimana sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment