Search This Blog

Saturday, April 2, 2011

Risau anak kena kurung

;IPOH: Hati ibu mana tidak keruan apabila anak gadis kesayangan hilang dari rumah sejak lebih sebulan lalu apabila diperdaya dan dilarikan teman lelakinya yang juga ahli geng curi motosikal.
Lebih mengejutkan apabila Norhaslina Zol, 22, hilang dari rumahnya di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, di sini, hanya selepas dua jam teman lelakinya itu meluahkan hasrat untuk berkahwin kepada ibu bapa gadis berkenaan.

Ibu mangsa, Sabariah Abdul Manaf, 54, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam pada 28 Februari lalu, seorang lelaki bermotosikal datang ke rumahnya dan memperkenalkan diri sebagai teman rapat Norhaslina.

Katanya, lelaki berusia awal 20-an bernama Anwar itu kemudian menyatakan hasrat mengahwini Norhaslina.

“Suami, Zol Abdul Hamid, 64, tidak membantah namun menasihatkan lelaki terbabit mengikut aturan adat Melayu sekiranya benar-benar mahu memperisterikan Norhaslina.


“Lelaki itu kemudian meminta kebenaran untuk keluar makan seketika dengan anak saya itu sebelum pulang sekitar jam 10.30 malam,” katanya.

Namun, tidak beberapa lama kemudian Norhaslina menyelinap keluar semula dari rumah sebelum hilang begitu saja hingga kini.

“Dia tidak membawa sebarang pakaian dan saya yakin kehilangannya itu ada kaitan dengan teman lelakinya yang juga lesap begitu saja.

“Kami sekeluarga yang bimbangkan keselamatannya kemudian berusaha menghubungi telefon bimbitnya, namun Norhaslina memberi alasan berada di Selangor,” katanya.

Menurutnya, dia cuba memujuk anaknya itu supaya kembali, namun dia seolah-olah dikurung bersama beberapa wanita lain tidak dikenali.


“Kali terakhir saya cuba menghubunginya panggilan saya diangkat seorang wanita yang memberi pelbagai alasan kononnya Norhaslina tidak menggunakan telefon bimbit itu lagi.


“Akibat bimbang keselamatannya, saya dan anak lelaki, Zamri Zol, 35, membuat laporan di Balai Polis Jelapang,” katanya ketika ditemui wartawan semalam.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengetahui di mana Norhaslina berada diminta menghubungi talian 019-5495124 atau balai polis berhampiran.
myMetro | Risau anak kena kurung

No comments:

Post a Comment