Search This Blog

Tuesday, April 12, 2011

Remaja maut dirempuh

ALOR SETAR - Seorang pembonceng motosikal maut dalam kemalangan jalan raya setelah motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di jalan Kancut sekitar jam 2.15 petang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang mangsa dan kereta yang melanggarnya menuju ke arah sama.

Namun katanya, apabila sampai di satu simpang ketika pemandu kereta ingin membelok masuk ke ke Taman Tengku Habsah, secara tiba-tiba pemandu itu merempuh motosikal berkenaan.

“Mangsa yang dikenali sebagai Alif Shalihin Sulaiman, 18, dari Taman Aman Anak Bukit maut di tempat kejadian, dia bagaimanapun dikatakan tidak sempat mengelak dari dirempuh kereta berkenaan.

“Akibat daripada rempuhan kuat, mangsa kemudiannya terpelanting sejauh 12 meter ke atas jalan, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta sudah tampil membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, S Suja, 36, berkata, sewaktu kemalangan itu berlaku dia dalam perjalanan ke hospital dengan membonceng motosikal dari arah bertentangan.

“Dari jauh saya melihat mangsa masih lagi bergerak dan menggelupur, namun apabila saya turun dari motosikal seterusnya menyeberangi jalan untuk ke tempat kemalangan, mangsa pengsan serta meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa yang juga dipercayai kakitangan penjara terkejut dengan kejadian menimpa anak lelakinya itu.

No comments:

Post a Comment